AM > BERITA

Bekas PAT Abdul Aziz Dilantik Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara

05/05/2025 07:59 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) Tan Sri Dr Abdul Aziz Zainal dilantik sebagai Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara bagi memantau pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0, berkuat kuasa 14 April lepas hingga 13 April 2028.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pelantikan Abdul Aziz yang merupakan PAT ke-16 telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengikut peruntukan Seksyen 7 Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).

Beliau berkata pengenalan semula PLKN mencerminkan komitmen kerajaan yang tidak berbelah bahagi dalam membina bangsa yang patriotik, berjiwa besar dan mempunyai nilai-nilai unggul.

“Kalau pun tidak mungkin dapat memastikan 100 peratus rakyat patriotik dan sanggup berkorban untuk tanah air, setidak-tidaknya kita boleh mengusahakan secara bersungguh-sungguh satu proses atau intervensi khas yang memastikan ramai anggota masyarakat  terus mempunyai semangat patriotisme tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi dan Ahli Majlis Latihan Khidmat Negara di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Turut hadir PAT Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Mohamed Khaled berkata selari dengan peruntukan di dalam Bahagian III, Akta Latihan Khidmat Negara 2003, penubuhan Majlis Latihan Khidmat Negara merupakan satu keperluan untuk bertindak sebagai badan yang menasihati Menteri mengenai segala perkara berkaitan latihan khidmat negara.

“Akta itu turut memperuntukkan yang majlis ini hendaklah terdiri daripada anggota yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, atas syor Menteri.

“Majlis ini merangkumi seorang Pengerusi, lima orang anggota yang mewakili kerajaan dan sekurang-kurangnya tiga orang tetapi tidak lebih daripada lima orang anggota lain yang terdiri daripada wakil kaum-kaum utama di Malaysia,” katanya.

Mohamed Khaled turut menyampaikan watikah pelantikan Ahli Majlis Latihan Khidmat Negara kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Ts Dr Aminuddin Hashim.

Turut dilantik mewakili kerajaan ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr Anesee Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Ts Dr K. Nagulendran dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Maziah Che Yusoff.

Wakil komuniti kaum-kaum utama Malaysia pula ialah Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, Timbalan Presiden MBM Soon Honn Keong dan Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian.

Turut dilantik Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan di Jabatan Ketua Menteri Sabah Datuk Abang Shahminan Abang Sahari sebagai wakil negeri Sabah manakala wakil Sarawak akan diumumkan kemudian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan