Wanita Tidak Perlu Tunggu Bercerai Untuk Tuntut Nafkah - Peguam

T
anpa diduga, pujian tuan rumah baju raya yang dipakai oleh anak kecil itu cantik mencetuskan pergaduhan besar sepasang suami isteri di sebuah majlis rumah terbuka, apabila si isteri “mendedahkan” kesemua persiapan raya, termasuk baju yang dipakai oleh anak mereka, disediakan olehnya.

Insiden tersebut yang dikongsikan oleh seorang individu di media sosial dan tular, mungkin sekadar “cerita”, namun di sebalik itu ada realiti pahit yang berlaku dalam sesetengah perkahwinan apabila suami bersikap lepas tangan dari segi pemberian nafkah anak dan isteri. Lebih-lebih lagi jika si isteri juga bekerja.

Situasi itu membuatkan isteri menjeruk rasa kerana perlu menguruskan rumah tangga bersendirian, yang lama-kelamaan berisiko mencetuskan masalah lebih besar termasuk perceraian, atau lebih buruk lagi, ditinggalkan dalam keadaan digantung tidak bertali.

 

MENUNTUT NAFKAH TANPA CERAI

Bagi wanita Islam yang berdepan masalah sedemikian, masih ada jalan keluar untuk mereka, kata peguam syarie Marlina Amir Hamzah, dan menjelaskan hak isteri dalam Islam di negara ini dilindungi menerusi Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 dan undang-undang serupa di peringkat negeri. 

"Misalnya, Seksyen 73 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2023 memperuntukkan seorang bapa hendaklah menanggung nafkah anak, sama ada anak tersebut di bawah jagaannya ataupun orang lain.

Peguam Syarie, Marlina Amir Hamzah

“Nafkah merangkumi antaranya makan, minum, tempat tinggal, pakaian dan perubatan. Bila masalah nafkah ini tidak selesai menerusi perbincangan, isteri boleh memfailkan tuntutan nafkah di mahkamah syariah (walaupun masih berstatus suami isteri)," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Malangnya kata beliau, tidak ramai para isteri yang berbuat demikian disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya tidak tahu prosedur undang-undang, bimbang tidak mampu dari segi kos untuk memfailkan tuntutan selain risau akan mengeruhkan lagi keadaan.  

“Bagi yang masih ingin pertahankan rumah tangga, biasanya mereka tidak pilih jalan ini. Bayangkan isteri failkan tuntutan nafkah di mahkamah sedangkan mereka masih lagi suami isteri, mungkin akan jadi punca bergaduh dan akhirnya bercerai.

“Namun dalam kes tertentu, misalnya wanita yang sudah lama digantung tidak bertali serta nekad mendapatkan hak berkenaan, tuntutan boleh dibuat tanpa perlu membuang masa menunggu selepas bercerai," ujarnya.

 

PROSES TUNTUT NAFKAH DALAM PERKAHWINAN

Mengulas lanjut tentang proses menuntut nafkah semasa masih dalam ikatan perkahwinan, Marlina berkata langkah pertama yang perlu dilakukan oleh isteri ialah memohon perintah nafkah di mahkamah rendah syariah.

"Sediakan semua dokumen diperlukan, antaranya salinan kad pengenalan suami isteri, kad perakuan nikah serta sijil kelahiran anak dan pergi ke mahkamah rendah syariah untuk memfailkan permohonan tersebut. Pegawai mahkamah di kaunter pendaftaran kes biasanya boleh membantu memberi panduan jika anda tidak diwakili peguam.

“Jika diwakili peguam, semua dokumentasi diuruskan oleh peguam yang akan memberi nasihat mengikut peruntukan sedia ada dan bersesuaian dengan kes anak guamnya," kata beliau.

Katanya, selepas kes difailkan, pihak-pihak akan melalui proses sulh iaitu perundingan dengan pegawai sulh, dan sekiranya tidak berjaya mencapai persetujuan kes akan dibicarakan di depan hakim.

Seterusnya, sebaik sahaja kes selesai dibicara, mahkamah boleh memerintahkan suami atau bekas suami atau bapa membayar nafkah mengikut jumlah, tarikh bayaran dan kaedah pembayaran seperti yang telah diputuskan oleh hakim, jelas beliau.

 

PERINTAH MAHKAMAH

Namun, jika selepas mahkamah mengeluarkan perintah tersebut suami masih ingkar dan tidak membayar nafkah berkenaan, si isteri boleh memfailkan permohonan penguatkuasaan perintah di bawah Seksyen 148 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan).

Marlina berkata permohonan boleh difailkan sama ada melalui saman penghutang penghakiman, perintah penyitaan dan penjualan, prosiding hiwalah atau perintah pengkomitan. 

Hak isteri dan anak terlindung mengikut Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

“Mungkin ada suami akan beri alasan tidak mampu atas sebab-sebab tertentu seperti gaji kecil, komitmen pula banyak atau tidak bekerja dan sebagainya.

“Jika begitu, suami itu hendaklah membuktikan kepada mahkamah yang dia benar-benar tidak mampu, tetapi bukan bermakna (suami) terlepas begitu sahaja. Mengikut hukum, apa cara sekalipun hak nafkah wajib ditunaikan," katanya.

Dalam kes tuntutan nafkah anak, jika suami membuktikan dia mempunyai kekangan untuk melunaskan tanggungjawab berkenaan, Marlina berkata isteri boleh memohon kepada mahkamah agar waris daripada sebelah suami membayar nafkah itu seperti yang diperintahkan oleh mahkamah.

“Untuk langkah ini, isteri perlu terlebih dahulu memperoleh perintah nafkah daripada mahkamah rendah syariah mengikut Seksyen 72 (1) Akta Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984,” jelasnya.

Selain itu,  jika isteri mengetahui suami ada simpanan di mana-mana institusi kewangan, dia juga boleh membuat permohonan hiwalah di mahkamah syariah mengikut Seksyen 161 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah 1998.

"Contoh hiwalah ialah mahkamah akan menahan harta dalam pemilikan atau kawalan pihak lain, iaitu bukan pihak yang diperintahkan. Misalnya pihak bank diperintah untuk membayar kepada pihak isteri jumlah yang suami terhutang," kata Marlina.

 

PENGUATKUASAAN MAHKAMAH, POTONG GAJI ATAU PENJARA

Sementara itu, menurut peguam syarie Irsamudin Ikhsan, undang-undang keluarga Islam di negara ini membolehkan  si isteri bukan sahaja memfailkan tuntutan nafkah semasa tetapi juga yang tertunggak sepanjang perkahwinan mereka.

"Nafkah tertunggak ini boleh dituntut jika isteri dapat membuktikan bahawa suami telah gagal memberi nafkah dalam satu tempoh tertentu yang munasabah, dan mahkamah akan menilai kewajaran jumlah tuntutan yang dibuat.

Peguam Syarie, Irsamuddin Ikhsan

“Tuntutan mestilah berdasarkan bukti yang dikemukakan, antaranya penyata perbelanjaan, dokumen kewangan serta keterangan saksi sekiranya perlu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Setelah dokumen berkaitan lengkap, mahkamah berkuasa mengeluarkan perintah pembayaran nafkah, dan jika suami tidak mematuhi perintah itu mahkamah boleh mengarahkan penguatkuasaan seperti perintah pemotongan gaji bahkan hukuman penjara.

Tegas beliau, tindakan itu bukan bersifat menghukum semata-mata tetapi lebih kepada melindungi hak isteri dan anak-anak yang telah diabaikan.

"Perkara ini dijamin mengikut hukum syarak serta di bawah peruntukan perundangan Islam di negara ini bagi memastikan kebajikan isteri dan anak terus terjaga walaupun suami gagal atau culas menunaikan tanggungjawab.

"Jelas di sini ada mekanisme melindungi isteri dan anak-anak dalam isu nafkah. Sebarang kecuaian atau keengganan suami menunaikan tanggungjawab boleh dibawa ke muka pengadilan untuk diputuskan secara sah," kata beliau.

 

BERTINDAK DEMI MASA DEPAN 

Berkongsi kisahnya dengan Bernama, wanita berusia 45 tahun yang mahu dikenali sebagai Fatiahusna ini berkata dia diabaikan oleh suaminya selama lebih 10 tahun sebelum dia memutuskan untuk ke mahkamah bagi mendapatkan haknya dan anak-anak.

“Saya bersabar lebih 10 tahun kerana berharap suami akan berubah. Akhirnya saya sendiri yang sakit (kemurungan) sebab terpaksa menanggung semua perbelanjaan keluarga dan anak-anak. Suami saya bekerja dalam sektor kerajaan, tetapi saya tidak tahu di mana dia belanjakan pendapatannya,” kata wanita itu yang bekerja di sektor swasta.

Menurut ibu kepada tiga orang anak yang masih bersekolah itu, sepanjang tempoh tersebut dia menghabiskan gajinya untuk perbelanjaan rumah tangga sehingga tidak mampu menyimpan sebagai persiapan hari tua.

“Ini belum lagi diambil kira penat emosi, mental dan fizikal. Berbincang pun keadaan tidak berubah,” katanya, menambah dia kemudian mencekalkan hati melangkah ke mahkamah syariah bagi memajukan permasalahan yang dihadapi.

“Saya gunakan khidmat Biro Bantuan Guaman (BBG) untuk memulakan proses tuntutan nafkah demi masa depan anak-anak.

"Prosesnya memang makan masa, iaitu hampir tiga tahun, tapi saya sudah bersabar selama 10 tahun, jadi bukan masalah untuk saya bersabar sedikit lagi demi anak-anak. Kos BBG pula ada yang diberikan percuma dan ada yang berbayar.

“Jumlah kos bergantung pada jenis kes dan berapa banyak kerja yang perlu dibuat. Apa yang pasti BBG jauh lebih murah berbanding jika gunakan peguam daripada firma guaman," jelasnya yang sudah tiga tahun "bebas” daripada belenggu itu.

Dia yang kini bergelar ibu tunggal berkata bekas suaminya juga konsisten membayar nafkah anak menerusi potongan gaji susulan perintah mahkamah. 

“Walaupun akhirnya saya menjadi ibu tunggal, saya tetap bersyukur kerana usaha saya untuk membaiki kehidupan serta membela hak anak-anak membuahkan hasil,” katanya. 

Dia seterusnya menasihati para wanita yang senasib dengannya agar tidak mempertahankan perkahwinan toksik atas alasan “kasihankan anak-anak”, sebaliknya bangkit dan berusaha memperjuangkan hak yang diberikan oleh agama dan lunas undang-undang. 

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.