WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SEORANG MAUT, 19 HILANG AKIBAT BANJIR KILAT DI PAPUA BARAT, INDONESIA

19/05/2025 03:25 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 19 Mei (Bernama) -- Banjir kilat di wilayah Papua Barat, Indonesia mengorbankan satu nyawa dan menyebabkan 19 lagi hilang selepas hujan lebat mencetuskan banjir besar di kawasan perlombongan emas terpencil, kata pihak berkuasa.

Seramai empat lagi penduduk cedera selepas banjir melanda penempatan sementara pelombong di Kampung Jim, daerah Catubouw di Kabupaten Pegunungan Arfak, pada Jumaat malam.

Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Abdul Muhari berkata banjir berlaku susulan hujan lebat yang berterusan dari 1 tengah hari hingga 8 malam waktu tempatan.

“Air banjir dari kawasan hulu melanda penempatan sementara yang digunakan oleh pelombong emas tradisional sekitar 9 malam, memusnahkan khemah dan menghanyutkan peralatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama telah dikerahkan ke kawasan terjejas, namun usaha pencarian terhalang oleh rangkaian komunikasi yang lemah dan keadaan muka bumi yang sukar.

“Pencarian 19 mangsa yang hilang diteruskan secara intensif oleh pasukan SAR di lapangan,” tambah Abdul Muhari.

Banjir kilat dan tanah runtuh sering berlaku di kawasan timur Indonesia semasa musim hujan, terutamanya di kawasan pergunungan seperti Papua Barat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan