SUKAN > BERITA

TUNKU MAHKOTA ISMAIL NASIHAT SEMUA PIHAK BERI SOKONGAN POSITIF KEPADA PASUKAN KEBANGSAAN

19/05/2025 07:57 PM

JOHOR BAHRU, 19 Mei (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim bertitah menasihati semua pihak agar memberikan sokongan yang positif dan membangun kepada pasukan bola sepak kebangsaan.

Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) bertitah usaha bagi pembangunan skuad Harimau Malaya memerlukan masa dan ruang untuk membantu pasukan mencapai kejayaan.

Baginda bertitah usaha itu termasuk menggunakan khidmat dan pengalaman jurulatih tempatan serta luar negara seperti yang diterapkan di dalam pasukan kebangsaan ketika ini. 

“Watak-watak (jurulatih tempatan) yang ada pengalaman ke arah bola sepak Malaysia (ketika ini) berkongsi (pengalaman) dengan kepakaran asing. Maknanya, gabungan idea dan pengetahuan.

“Jadi, itu yang tengah berlaku sekarang ini. Bagi saya, kalau kita betul-betul minat bola sepak tanah air, kalau betul-betul hendak tengok benda ini berkembang dan ada kemajuan, kita harus memberi masa, sokongan dan ruang untuk mereka menjalankan tugas-tugas mereka,” titah baginda ketika ditemui pemberita di sebuah hotel di sini hari ini.

Tunku Mahkota Ismail bertitah demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan legenda bola sepak kebangsaan Datuk Santokh Singh yang dipetik mendakwa revolusi Harimau Malaya bagaikan tiada identiti dengan mempersoalkan peranan jurulatih tempatan serta kebergantungan terhadap pemain naturalisasi dan warisan sehingga mengetepikan bakat tempatan.

Baginda bertitah penggunaan pemain naturalisasi dan warisan tidak seharusnya menjadi isu kerana dedikasi dan kemampuan beraksi kepada pasukan adalah perkara penting yang perlu diambil kira. 

“Jadi bagi saya, kalau tanya saya sendiri, pada pandangan peribadi saya, saya tidak kisah dia datang dari mana, apa warna kulit, asalkan dia ada darah dan kaitan dengan Malaysia dan dia berikan sepenuhnya kepada pasukan (itu yang penting),” titah baginda.

Baginda pada masa sama bertitah terdapat gerakan oleh pihak tertentu yang ingin menyasarkan baginda dengan memainkan sentimen dan naratif mengaitkan pasukan kebangsaan.

“Saya rasa kalau kita boleh tengok kira-kira sebulan lebih ini, memang jelas ada gerakan-gerakan yang tidak hendak tengok benda ini (usaha memantapkan pasukan kebangsaan berjaya) dan sasaran utama adalah saya.

“Jadi untuk menyerang saya terus tidak boleh, pihak-pihak tertentu terpaksa menyerang JDT, liga, terpaksa main naratif dan sentimen pasukan kebangsaan, sebenarnya ialah saya (sasarannya),” titah baginda.

Justeru, Tunku Mahkota Ismail bertitah akan meneruskan segala usaha yang telah dilakukannya dalam arena sukan, sekali gus menasihati semua pihak agar tidak menyalahkan badan induk seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan JDT berhubung isu penarikan beberapa pasukan pada saingan Liga Super musim hadapan.

“Setiap negeri ada pemimpin dan watak penting yang boleh memberi sumbangan atau pelan, perancangan macam mana hendak meningkatkan kelab masing-masing, (tetapi) apa mereka buat selama ini?

“Saya akan sentiasa bekerja dan meneruskan apa yang dibuat iaitu untuk meningkatkan JDT dan lebih fokus kepada kemajuan. Saya akan ada di sini untuk JDT dan sokong apa yang boleh untuk pasukan kebangsaan,” titah baginda.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan