WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PUSAT PERNIAGAAN PAROI DIJADIKAN PERKAMPUNGAN VETERAN TENTERA

13/05/2025 04:16 PM

SEREMBAN, 13 Mei (Bernama) -- Pusat Perniagaan Paroi di sini akan dijadikan perkampungan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) yang bakal memanfaatkan pesara tentera di seluruh negara.

Naib Presiden PVATM Datuk Adnan Ahmad berkata premis itu akan menjadi pusat sehenti yang menempatkan pelbagai kemudahan kepada veteran tentera khususnya untuk 17,000 ahli di negeri ini.

"Buat masa ini, pusat perniagaan berkenaan mempunyai premis seperti stor jualan ayam, kedai makan, dewan bankuet, hotel The Barrack dan akan datang sebuah klinik untuk veteran.

"Pusat ini bukan hanya menempatkan pelbagai kemudahan tetapi turut menyediakan peluang perniagaan kepada ahli yang ingin menjana pendapatan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sembang Santai Bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) Melaka/Negeri Sembilan di Dewan Perniagaan Paroi di sini hari ini.

Adnan berkata pihaknya bertuah kerana Negeri Sembilan merupakan negeri pertama memiliki pusat Digital Entrepreneur Country Club (DECC) yang bekerjasama dengan Maharani Infinity Technology Sdn Bhd bagi membantu menguruskan produk diusahakan PVATM.

Sementara itu, Pengarah JHEV Cawangan Melaka/Negeri Sembilan Mejar Muhammad Zarifi Tumin berkata DECC dan pihaknya akan bersama-sama membantu dari segi kebajikan lebih 28,000 bekas anggota tentera termasuk veteran tidak berpencen dan balu di kedua-dua negeri itu.

"Kita amat mengalu-alukan pembangunan sosioekonomi seperti ini kerana ia membuka peluang kepada veteran untuk menjana ekonomi mereka sendiri," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan