SUKAN > BERITA

PSM BIDA PENGANJURAN PIALA DUNIA 2026

13/05/2025 07:04 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menyahut seruan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh untuk menjadikan Malaysia tuan rumah Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia 2026. apabila menyatakan hasrat membida penganjuran pertandingan itu.

Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata gerak kerja sedang dijalankan pihaknya bagi membida penganjuran kejohanan berprestij itu selepas kali terakhir pada 2024.

“Saya ada bercakap dengan Mr Boonchai Lorhphipaat (Pemangku Presiden Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dan Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader mengenai hasrat untuk membida Piala Dunia tahun hadapan sebab ini arahan daripada menteri sendiri. Jadi kita nak buat di Kuala Lumpur yang akan melibatkan acara lelaki dan wanita.

“Kita juga kalau boleh menjemput banyak lagi negara untuk menyertai sebab tahun hadapan adalah tahun melawat Malaysia 2026,” katanya pada sidang media di Pejabat PSM di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi lampu hijau kepada PSM untuk membida Piala Dunia 2026 yang dilihat bakal memberi impak kepada Tahun Melawat Malaysia tahun depan.

Dalam pada itu, Mohd Sumali berkata sekiranya terpilih, pihaknya akan melakukan persiapan awal bagi memastikan penganjuran terbaik selain mempersiapkan barisan pemain terkuat.

“Kali ini saya nak buat perancangan daripada awal. Perancangan ini bukan sekadar nak buat kejohanan sahaja tetapi macam mana pasukan kita boleh pergi ke final. Itu yang saya nak dulu,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan venue Piala Dunia itu akan diadakan di tempat berbeza berbanding di Stadium Titiwangsa seperti sebelum ini, sekiranya memenangi bidaan. 

Ia bagi memastikan lebih ramai peminat sukan itu yang menurutnya meningkat dari tahun ke tahun, dapat menghadiri kejohanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan