KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Nextgreen Global Bhd (NGGB) melalui anak syarikat milik penuhnya, Nextgreen Fertilizer Sdn Bhd, kini memasarkan produk baja berasaskan biojisim kelapa sawit ke pasaran Libya.
Dalam satu kenyataan hari ini, NGGB berkata di bawah perjanjian pengedaran eksklusif, Nextgreen Fertilizer telah melantik P Teguh Nextgreen Sdn Bhd, sebuah syarikat bersekutu milik 49 peratus sebagai pengedar eksklusif bagi produk-produk baja bio miliknya di Libya.
Ia berkata perjanjian berkenaan turut merangkumi komitmen P Teguh Nextgreen untuk membeli sehingga 25,000 tan baja bio setiap tahun yang terdiri daripada 20,000 tan NexCompost (baja pepejal) dan 5,000 tan NexBooster (baja cecair).
Pengarah Urusan NGGB Datuk Lim Thiam Huat berkata pengembangan itu menandakan satu langkah penting bagi Nextgreen apabila Libya menjadi pasaran antarabangsa pertama untuk eksport baja bio kumpulan berkenaan.
“Dengan memperkenalkan NexCompost dan NexBooster ke rantau Afrika Utara, kami bukan sahaja mengembangkan jejak global kami, tetapi juga menyokong usaha Libya ke arah daya tahan pertanian dengan meningkatkan kesuburan tanah dan produktiviti tanaman sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang untuk sekuriti makanan,” katanya.
NGGB berkata P Teguh Nextgreen juga telah memeterai perjanjian pembekalan dan pembelian dengan entiti Libya iaitu Inbat Global for Importing Agricultural Machinery and Supplies (Inbat Global) dan Fazzan Cooperative Association for Organic Agriculture (Fazzan), bagi membentuk rangka kerja kerjasama untuk membuka potensi nilai merentas rantaian bekalan pertanian di Libya.
Ia berkata kerjasama itu meliputi peranan P Teguh Nextgreen sebagai pengedar rasmi baja bio, manakala Inbat Global akan bertindak sebagai rakan kongsi modal dan perolehan yang bertanggungjawab menguruskan pembelian dan import serta berkhidmat sebagai pembekal sah kepada Fazzan.
“Fazzan pula akan berperanan sebagai pengedar bukan eksklusif bagi produk-produk berkenaan di Libya,” tambah NGGB.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial