SEREMBAN, 8 Mei (Bernama) -- Sebuah projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) dikenali Seremban Sentral akan dibangunkan berhampiran Stesen Keretapi Seremban dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM2 bilion yang dijangka dimulakan tahun ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata projek di atas tanah milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) seluas 8.4 hektar itu merangkumi beberapa komponen termasuk kediaman, pusat perniagaan, perubatan dan komersial serta institusi pendidikan sekali gus menjadi pemangkin pembangunan bandar raya itu.
Beliau berkata projek dibangunkan oleh Kumpulan Sunway itu akan diintegrasikan dengan Stesen Keretapi Seremban yang sedang dinaik taraf di bawah projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) yang dijangka siap menjelang Disember 2028.
“Seremban sebuah bandar raya yang lama dan ada sejarahnya, tetapi kita kurang pemangkin untuk menghidupkannya. Jadi hari ini kita berbesar hati Kumpulan Sunway memenangi tender dan tawarkan pulangan tertinggi kepada RAC untuk membangunkan tanah ini.
“Saya amat gembira melihat projek ini menjadi kenyataan dan dalam tempoh beberapa bulan mereka akan memohon semua Kebenaran Merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan saya harap PBT memberikan kerjasama sepenuhnya untuk merealisasikannya secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian antara RAC dan Kumpulan Sunway untuk projek berkenaan yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah RAC Datuk Jana Santhiran Muniayan, di sini hari ini.
Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata fasa pertama akan dimulakan dalam tempoh enam bulan selepas perjanjian ditandatangani merangkumi pembinaan pusat perubatan dan komponen Seremban Yard dengan tempoh pembangunan bagi keseluruhan projek mengambil masa 14 tahun.
“Sektor perubatan mempunyai permintaan tinggi bukan sahaja daripada masyarakat setempat tetapi warga asing sekali gus menggalakkan sektor pelancongan perubatan, contohnya pesakit dari negara jiran dapatkan rawatan di sini bukan sahaja bayar bil perubatan tetapi tinggal di hotel.
“Mereka perlukan pelbagai perkhidmatan, ini akan melonjakkan ekonomi, jadi saya harap Seremban Sentral akan jadi pemangkin utama pembangunan Seremban dan RAC juga akan memaksimumkan nilai tanah di sebelah stesen kereta api,” katanya.
Beliau berkata pembangunan itu juga akan memanfaatkan sepenuhnya kekuatan sistem rel sedia ada sekali gus menjadikan bandar raya Seremban sebagai sebuah hab pengangkutan yang lebih cekap dan inklusif.
Loke berkata pembangunan Seremban Sentral itu turut memelihara dan mengintegrasikan stesen bersejarah dalam pelan pembangunan termasuk Seremban Yard yang menampilkan gudang kereta api lama dalam cadangan pembangunan baharu sebagai ruang kreatif, perusahaan kecil dan interaksi komuniti.
“Saya yakin ia juga akan meningkatkan nilai hartanah dan ekonomi setempat selain membuka peluang pekerjaan baharu apabila komponen komersial beroperasi sepenuhnya serta meningkatkan kualiti hidup dan mobiliti rakyat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial