WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS BURU LIMA LELAKI MENYAMAR POLIS, SAMUN KELUARGA PESARA DI SEMENYIH

09/05/2025 12:30 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Polis sedang mengesan lima lelaki yang dipercayai menyamar sebagai anggota polis sebelum menyamun sebuah rumah di Semenyih, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata kejadian kira-kira 5 pagi itu melibatkan mangsa, iaitu pesara lelaki berumur 55 tahun dan tiga ahli keluarganya yang berada di rumah.

Beliau berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kesemua suspek memakai pelitup muka dengan dua daripada mereka memakai ves polis. 

“Kumpulan suspek ini bertindak memecah masuk pintu hadapan rumah mangsa sebelum masuk ke dalam rumah dan melarikan beberapa barang kemas, dua telefon bimbit dan wang tunai dianggarkan bernilai RM500 manakala kerugian keseluruhan dianggarkan sebanyak RM9,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menyamar sebagai anggota polis, katanya. 

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya menghubungi Insp Ghazali  Zulkifli menerusi talian 016-9140758 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, rakaman CCTV yang dipercayai memaparkan suspek kes kejadian berkenaan sedang memecahkan pintu hadapan sebuah rumah teres dengan cara menendangnya beberapa kali, tular di laman sosial X.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan