DUNIA > BERITA

PM SINGAPURA TEKANKAN KEUTAMAAN TANGANI ISU EKONOMI

09/05/2025 11:19 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 9 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong menegaskan bahawa menangani isu ekonomi dan kesannya terhadap rakyat merupakan keutamaan utama kerajaan baharu yang dipimpinnya.

Wong, yang juga Menteri Kewangan berkata Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong sedang giat bermesyuarat bagi merangka pelan tindak balas negara itu.

“Mereka akan memberi maklumat lanjut apabila bersedia. TPM Gan juga meneruskan perbincangan dengan rakan sejawat di Amerika Syarikat bagi meneroka pendekatan konstruktif untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dengan negara itu,” katanya dalam video yang dimuat naik ke saluran YouTube beliau pada Jumaat.

Wong turut mengakui kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan komuniti perniagaan, berdasarkan dapatan tinjauan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) baru-baru ini.

“Tinjauan itu mendapati empat daripada lima perniagaan Singapura terjejas akibat tarif Amerika Syarikat; tiga daripada empat menjangkakan pendapatan mereka akan berkurang, manakala separuh daripada mereka menangguhkan pengambilan pekerja baharu dalam tempoh tiga bulan akan datang,” katanya.

Bagi mengurangkan kesan terhadap pekerjaan dan harga, Wong berkata kerajaan akan mula melaksanakan beberapa langkah sokongan seperti diumumkan dalam Belanjawan tahun ini, termasuk rebat cukai korporat dan pemberian tunai yang akan dibayar bulan ini.

Perdana Menteri itu turut menegaskan komitmennya untuk membentuk pasukan kerajaan yang diperbaharui dan diperkukuh bagi berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat serta menjamin masa depan negara dalam keadaan mencabar.

“Keputusan pilihan raya menunjukkan rakyat Singapura mahukan satu pasukan yang menggabungkan pengalaman dan perspektif baharu untuk membawa negara ke hadapan,” katanya.

Wong mengetuai Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi Pilihan Raya Umum pada 3 Mei dengan majoriti besar, apabila memperoleh 87 daripada 97 kerusi Parlimen, termasuk lima kerusi yang dimenangi tanpa bertanding.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan