WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMILIHAN PKR: MUHAMMAD KAMIL SAHKAN HANTAR PENCALONAN KETUA AMK

09/05/2025 11:42 PM

BUKIT MERTAJAM, 9 Mei (Bernama) -- Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim malam ini mengesahkan telah menghantar pencalonan untuk bertanding jawatan ketua sayap parti itu.

Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata beliau berhasrat berentap bagi jawatan tersebut supaya dapat meneruskan agenda sayap parti berkenaan.

"Saya mohon rakan-rakan yang ada malam ini untuk beri sokongan supaya dapat teruskan agenda kita dan bersiap siaga untuk Pilihan Raya Umum ke-16 nanti.

"Saya mahu kita kembali kepada asas perjuangan parti dan jangan pernah tersasar dengan semangat Keadilan yang ada bersama kita serta semarakkan Keadilan MADANI kerana ia bukan ungkapan yang asing," katanya semasa berucap pada Majlis Semarak Keadilan Kita MADANI Wilayah Utara di sini.

Turut hadir Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Ketua AMK Adam Adli Abd Halim yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan serta barisan kepimpinan PKR Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Pada pemilihan PKR 2022, Muhammad Kamil menewaskan Ahli Dewan Undangan Negeri Rawang Chua Wei Kiat bagi mengisi jawatan Timbalan Ketua AMK.

Pada 8 Mac lepas, Adam mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan itu dan mengesahkan bakal bertanding bagi merebut keanggotaan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Nurul Izzah pula berkata menerusi kempen sebagai calon Timbalan Presiden PKR, beliau ingin mengangkat kedudukan wanita dan 4.4 juta pekerja gig yang terdiri daripada golongan muda.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata beliau akan turun ke negeri-negeri bertemu kaum hawa bagi mengangkat kedudukan mereka menerusi latih tubi untuk latihan kewangan dan juga kesihatan mental.

"Jadi akan ada semua program yang saya rancang sebelum pengumuman (bertanding pada) pemilihan (parti) iaitu kita nak angkat kedudukan wanita dan yang kedua, untuk pekerja-pekerja dalam sektor gig yang melibatkan anak muda yang secara keseluruhannya berjumlah 4.4 juta orang, ini kempen saya dan ia bukan soal saya sahaja atau mana-mana individu tetapi untuk parti kita," katanya.

Terdahulu, beliau mengesahkan pencalonannya bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu 23 Mei ini.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan