KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dicabar bagi jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas pencalonan pemilihan parti itu berakhir 11.59 malam ini.
Bagaimanapun menurut sumber, jawatan Timbalan Presiden bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah Anwar dengan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli selaku penyandang.
Bagi jawatan Naib Presiden pula, 12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing.
Berikut senarai calon yang bertanding jawatan Naib Presiden PKR bagi sesi 2025-2028:
Selain itu, Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim merupakan calon tunggal bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) manakala jawatan Ketua Wanita PKR menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan dengan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail.
Pencalonan bagi Pemilihan PKR 2025 berlangsung selama dua hari bermula Khamis lepas secara dalam talian.
Proses bantahan ditetapkan pada 11 dan 12 Mei ini, diikuti rayuan bantahan (13-14 Mei), tarikh akhir penarikan diri (14 Mei), senarai muktamad calon (15 Mei), tempoh kempen (15-22 Mei) dan pengundian pada 23 Mei.
Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial