ALOR SETAR, 7 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki meninggal dunia ketika mendaki Gunung Keriang, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata polis menerima maklumat orang awam melalui Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, berhubung kejadian kira-kira pukul 6.18 petang.
“Seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun telah ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di puncak Gunung Keriang. Polis bersama sepasukan anggota bomba telah ke lokasi dan menjalankan operasi menyelamat dan berjaya membawa mangsa turun ke kaki gunung pada pukul 6.40 petang.
“Pegawai perubatan yang menjalankan pemeriksaan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian. Selain itu, tiada unsur jenayah pada tubuh mangsa dan mangsa dipercayai telah mendaki gunung itu seorang diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk proses bedah siasat.
“Setakat ini, punca kematian masih belum dapat dipastikan sehingga laporan bedah siasat diperolehi kelak. Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini yang boleh mendatangkan kegusaran kepada ketenteraman awam.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian boleh tampil ke IPD Kota Setar atau menghubungi pihak polis ditalian 04-7747222,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial