KOTA BHARU, 7 Mei (Bernama) -- Isu tunggakan gaji terus membelenggu Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) apabila kelab itu masih belum melangsaikan baki empat bulan bayaran kepada pemain bagi musim 2024/2025.
Presiden kelab Rozi Muhamad mengakui masih terdapat baki tunggakan yang belum dijelaskan, namun menegaskan usaha sedang giat dilakukan untuk melunaskannya dalam masa terdekat.
“Pada awalnya, tunggakan mencecah tujuh bulan, tetapi kami sudah selesaikan tiga bulan sejak awal Februari lepas Kami komited untuk menyelesaikan baki empat bulan secepat mungkin bagi memastikan kelab dapat terus bersaing dalam Liga Malaysia musim depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Penghargaan KDN FC bersama penaja dan rakan strategik di sini, malam tadi.
Majlis turut menyaksikan pelantikan tokoh korporat Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu kelab – langkah yang diharap mampu membawa nafas baharu kepada pengurusan pasukan.
Dalam pada itu, Rozi menafikan dakwaan segelintir pihak yang melaporkan tunggakan gaji pemain mencecah lapan bulan.
“Sebenarnya tidak sampai lapan bulan. Tunggakan maksimum cuma tujuh bulan dan kami dalam proses menyelesaikannya,” katanya.
Mengulas mengenai persiapan pasukan, Rozi mendedahkan KDN FC bakal melakukan rombakan besar dengan hampir 70 peratus pemain dan kakitangan pengurusan baharu bakal diketengahkan untuk musim depan.
Sebelum ini, laporan media tempatan menyebut beberapa pemain KDN FC bertindak memboikot sesi latihan akibat kelewatan pembayaran gaji sejak bulan lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial