MELAKA, 5 Mei (Bernama) -- Persediaan Melaka FC untuk kembali bersaing dalam saingan liga elit negara, Liga Super semakin menyakinkan apabila senarai lengkap pemainnya akan dimuktamadkan pada akhir bulan ini.
Pemilik pasukan Datuk Nur Azmi Ahmad berkata senarai berkenaan termasuklah sekurang-kurangnya tiga pemain pinjaman daripada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), di samping 12 pemain sedia ada bagi membentuk pasukan mantap.
"Kita sudah pun memulakan temu duga dan pemilihan pemain luar, jadi ia akan dimuktamadkan sebelum akhir Mei kerana latihan dijangkakan bermula pada penghujung bulan ini.
"Dari segi teknikal pula, kita sebenarnya sudah siap sedia, malah mencapai tahap 90 peratus termasuk barisan kejurulatihan, seperti jurulatih K. Devan bersama-sama Asri Ninggal dan Mazlan Wahid memang dikekalkan," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka yang dianjurkannya di sini malam tadi.
Selepas tersingkir daripada saingan Liga Super atas pelbagai faktor termasuk isu pembayaran gaji, Melaka FC bangkit mempamerkan prestasi terbaik apabila muncul juara Liga A1 Semi Pro musim 2024/2025 sekali gus dilihat sebagai persediaan terbaik skuad Sang Kancil itu untuk kembali ke arena Liga Super.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial