AM > BERITA

Internet Di Kawasan Pelancongan Sabah Baik, Kawasan Luar Bandar Perlu Penambahbaikan

05/05/2025 07:31 PM

Oleh Noorazlina Jindeh

KOTA KINABALU, 5 Mei (Bernama) -- Ketersambungan Internet di destinasi pelancongan utama Sabah secara umumnya stabil walaupun kawasan di luar bandar masih berdepan cabaran tatkala negeri ini bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew berkata kawasan pelancongan popular seperti Taman Kinabalu mempunyai liputan rangkaian yang baik, dengan pengunjung hanya mengalami masalah yang minimum.

"Malah di Sayat-Sayat Hut di Gunung Kinabalu, pelancong dapat menikmati kualiti Internet yang sangat baik," kata Liew kepada Bernama.

Namun, ketersambungan Internet di kawasan luar bandar yang mempunyai banyak lokasi tarikan pelancongan memerlukan penambahbaikan untuk membolehkan pengunjung menikmati pengalaman lebih menarik. 

Liew menyeru syarikat telekomunikasi supaya meningkatkan infrastruktur serta kualiti perkhidmatan, terutamanya di kawasan yang menjadi tumpuan dan dikunjungi ramai pelancong. 

Pada 26 April lepas, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta syarikat telekomunikasi meneliti serta merangka penyelesaian segera bagi peningkatan kualiti Internet di kawasan pelancongan di Sabah, lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ia bagi memastikan pelancong dapat memanfaatkan kelajuan Internet untuk berkongsi pengalaman mereka mengenai keindahan negara, khususnya di Sabah selain menikmati perkhidmatan terbaik.

Presiden Barisan Pengguna Sabah (CFOS) Nordin Thani berkata pihaknya juga telah beberapa kali menyuarakan kepada agensi kerajaan mahupun swasta supaya bekerjasama dengan syarikat perkhidmatan telekomunikasi bagi mengatasi isu ini.

Beliau berkata kerjasama semua pihak penting dalam usaha untuk mengatasi masalah liputan Internet di luar bandar,khususnya di kawasan pelancongan terpencil yang berpotensi menyokong pembangunan ekonomi tempatan. 

Nordin berkata hasil daripada kerjasama agensi kerajaan negeri mahupun Persekutuan, mampu membuahkan cadangan untuk membina sistem atau teknologi bersesuaian dengan kawasan yang telah dikenal pasti bagi liputan rangkaian Internet yang berkualiti serta berkelajuan tinggi.

"Sebagai contoh, Pulau Sipadan tidak mempunyai bekalan kuasa, terdapat teknologi dalam pasaran yang boleh mengatasi masalah itu seperti menggunakan sistem solar hibrid untuk penjanaan kuasa, teknologi satelit dan menggunakan stesen pangkalan kuasa yang rendah (5G picocells) untuk pulau berkenaan sahaja," katanya.

Penjawat awam Sarimah Abdullah, 40, mengharapkan agar kawasan pelancongan, khususnya yang jauh terletak di kawasan perkampungan ditambah baik jaringan Internetnya.

Beliau berkata berdasarkan pengalaman, memang masih ada kawasan pelancongan yang sukar untuk mendapatkan Internet dan terpaksa keluar dari kawasan berkenaan semata-mata mendapatkan liputan. 

"Memang kita akui semasa bercuti perlu off daripada telefon, tetapi sekiranya berlakunya kecemasan, signal Internet sangat penting lebih-lebih lagi jika bercuti di kawasan sungai," kata ibu kepada dua cahaya mata itu.

Pelancong dari Jepun Keiko Tanaka yang menghabiskan dua minggu menjelajah pulau-pulau di Sabah, berkongsi pengalaman manisnya sepanjang lawatan baru-baru ini.

“Saya sungguh terpukau dengan pantai di pulau-pulau Semporna yang masih terpelihara. Saya kagum dengan kejernihan airnya dan kekayaan hidupan marin,” kata ahli biologi berusia 28 tahun dari Tokyo itu.

Beliau turut berkongsi pengalaman menginap di Pulau Mabul, berpeluang menyaksikan kehidupan unik komuniti tempatan yang sangat mesra, serta berkesempatan mempelajari banyak perkara tentang cara hidup mereka.

“Hidangan laut yang disediakan juga sungguh enak,” katanya sambil menambah ketersambungan Internet di beberapa pulau boleh ditambah baik.  

“Walaupun perkara itu tidak mempengaruhi keseronokan, liputan Internet yang lebih baik pasti memudahkan lagi saya berkongsi detik indah ini dengan keluarga. Namun, ia tidak mengganggu keseronokan berada di pulau-pulau di Sabah yang menawarkan pengalaman pengembaraan yang sukar dilupakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan