WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEGUAM NEGARA, PEGUAM BESAR NEGERI TERLIBAT DALAM PROSES RUNDINGAN MA63 - TPM FADILLAH

05/05/2025 02:46 PM

KUCHING, 5 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata proses rundingan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sememangnya melibatkan pelbagai pihak, termasuk badan perundangan tertinggi negara iaitu Peguam Negara dan Peguam Besar Negeri. 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) berkata segala rundingan juga berpaksikan undang-undang sedia ada.

“Sebab itu perundingan nanti memerlukan bukan saja peringkat antara Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg)… ia juga melibatkan Peguam Besar Negeri dan Peguam Negara.

“Jadi rundingan ini akan berterusan dan akhirnya matlamat seperti mana yang dikatakan oleh Perdana Menteri dan juga Premier ialah untuk mencari kaedah menang-menang dalam kerangka kerja dan lingkungan Perlembagaan dan perundangan yang sedia ada,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Minggu Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) Borneo 2025, di sini hari ini. 

Fadillah berkata demikian bagi mengulas cadangan seorang peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla baru-baru ini supaya Peguam Negara dan Peguam Besar Negeri diberi tanggungjawab untuk berbincang dan menasihati kerajaan pusat serta negeri dalam setiap pertikaian membabitkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. 

Mohamed Haniff dilaporkan media sebagai berkata kedua-dua mereka juga perlu berunding untuk menyelesaikan isu tuntutan Kerajaan Sarawak membabitkan pengagihan sumber asli negeri itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan