KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Lelaki bergelar Datuk yang dibebaskan daripada tahanan reman Sabtu lepas sekali lagi direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu membabitkan kira-kira RM450 juta.
Datuk itu, yang berusia 60-an, ditahan bersama seorang lagi suspek berusia 50-an ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 7 malam semalam.
Perintah reman terhadap mereka dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya Siti Roslizawati Mohd Zanin selepas permohonan dibuat oleh SPRM pagi tadi.
Menurut sumber SPRM, perintah reman ke atas Datuk berkenaan dikeluarkan selama dua hari hingga esok manakala seorang lagi suspek direman selama lima hari hingga 9 Mei ini.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM450 juta yang menggunakan dana sukuk dan mendapatkan fasiliti dari sebuah pejabat wilayah dalam sebuah projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang bernilai kira-kira RM1.3 bilion.
“Tangkapan ini adalah susulan daripada tangkapan sebelum ini yang melibatkan tuntutan butir matan palsu bernilai kira-kira RM360 juta dan jumlah keseluruhan tuntutan palsu ini bernilai kira-kira RM800 juta,” katanya.
Beliau juga berkata seramai lima individu telah ditahan reman berkaitan kes tuntutan itu dan empat daripadanya dibebaskan dengan jaminan SPRM minggu lepas.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial