WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AT&S BERSEDIA UNTUK PENGELUARAN VOLUM TINGGI MELALUI PELABURAN RM5 BILION DI KULIM

05/05/2025 09:18 PM

KULIM, 5 Mei (Bernama) – Austria Technologie & Systemtechnik AG (AT&S), salah satu pengeluar litar bersepadu (IC) dan papan litar bercetak terkemuka, kini telah bersedia untuk pengeluaran volum tinggi di kompleks kilang baharunya di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), Malaysia.

Naib Presiden Eksekutif Unit Perniagaan Mikroelektronik AT&S, Ingolf Schroeder berkata bermulanya pengeluaran volum tinggi ini menandakan pencapaian terpenting bagi syarikat itu dan Malaysia.

"Dengan memperkenalkan teknologi substrat IC termaju di Kulim, kami akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan teknologi Malaysia dengan cara yang mampan," katanya pada media di sini hari ini.

Schroeder menjelaskan kompleks kilang Kulim, yang disiapkan dalam hanya dua tahun, telah mula menghasilkan substrat IC termaju bagi pemproses pusat data AMD serta pelanggan lain.

Beliau menambah kemudahan itu dijangka mengalami pertumbuhan yang positif, didorong oleh peningkatan permintaan global untuk unit pemprosesan pusat (CPU) termasuk unit pemprosesan grafik (GPU) yang digunakan di pusat data, kecerdasan buatan (AI), realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR).

"Dengan peningkatan eksponen dalam jumlah data, permintaan penyimpanan, penghantaran dan analisis.

"AT&S berada di kedudukan terbaik bagi melayani pasaran ini dan kami menjangkakan lebih banyak pelanggan berprofil tinggi untuk menyertai kami di kilang Kulim dalam tahun kewangan semasa," kata Schroeder.

Schroeder ketika menonjolkan komitmen AT&S terhadap ekosistem semikonduktor Malaysia menjelaskan syarikat itu secara aktif sedang bekerjasama dengan Penyelidikan Kolaboratif dalam Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST) ​serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk menyokong Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

"Kami sudah menyumbang dengan ketara kepada landskap teknologi Malaysia. Pengilangan termaju memerlukan pelaburan yang besar dan kami amat menghargai atas perkongsian yang kukuh yang telah kami wujudkan dengan institusi tempatan," katanya.

Sehingga kini, AT&S telah melabur kira-kira RM5 bilion (Euro 1 bilion) di kilang Kulim termasuk bangunan pentadbirannya, yang mempunyai kawasan lantai kasar kira-kira 255,000 meter persegi dan perumahan di sekitar 500 mesin berteknologi tinggi.

AT&S Malaysia kini mempunyai kira-kira 1500 pekerja dan sejak penubuhannya, sejumlah RM600 juta telah dilaburkan dalam usaha Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), kata Schroeder lagi.

Beliau ketika mengulas mengenai ketegangan tarif yang berterusan antara China dan Amerika Syarikat berkata bahawa syarikat itu tidak terjejas kerana ia hanya menghasilkan substrat IC dan tidak membekalkan produk akhir. 

"Operasi kami di Austria, China dan sekarang Malaysia sedang berjalan dan meningkat seperti yang dirancang. Buat masa ini, tarif yang diumumkan tidak mempunyai kesan ke atas perniagaan kami," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan