KUCHING, 4 Mei (Bernama) -- Malaysia perlu mengambil iktibar aspek penggunaan tenaga boleh baharu (RE) daripada insiden gangguan bekalan elektrik besar-besaran di Sepanyol dan Portugal pada hujung bulan lepas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata negara perlu memastikan keterjaminan bekalan elektrik, khususnya di negeri-negeri Semenanjung Malaysia yang tidak mempunyai sumber tenaga hidro mencukupi.
“Di Semenanjung masih menghadapi cabaran bagaimana hendak memastikan keterjaminan bekalan elektrik sebab tidak cukup sumber air kerana di sana bergantung kepada tenaga solar (untuk RE) yang hanya tahan empat hingga lapan jam.
“Ini cabaran yang berlaku malah di Eropah sekali pun timbul masalah di Sepanyol dan Portugal kerana tidak dapat kestabilan talian penghantaran elektrik,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 anjuran Persaudaraan Masjid, Bintangor dan Haji Taha (MBHT) Kuching, di sini malam ini.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata dalam konteks Sarawak, perbincangan bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan diadakan bagi memastikan sistem grid di negeri ini stabil, sekali gus menarik minat pelabur.
Pada Selasa lepas, media antarabangsa melaporkan gangguan besar bekalan elektrik yang belum pernah berlaku di Sepanyol dan Portugal dengan kira-kira 55 juta penduduk terkesan.
Insiden berkenaan turut menyebabkan ribuan penduduk terkandas dalam kereta api dan lif selain akses telefon serta internet turut terputus dengan punca sebenar masih dalam siasatan.
Sepanyol merupakan antara pengeluar RE terbesar di Eropah dan ini mencetuskan perdebatan mengenai kestabilan bekalan tenaga yang dijana daripada solar dan angin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial