IPOH, 4 Mei (Bernama) -- Polis menahan 12 individu termasuk dua wanita warga China yang disyaki terlibat dengan sindiket penipuan pekerjaan dalam talian di sebuah banglo di Pasir Putih di sini pada 2 Mei lepas.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata kesemua suspek berusia lingkungan 25 hingga 44 tahun itu ditahan pada 2 petang oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri.
Beliau berkata dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas 20 telefon bimbit, 10 komputer riba dan empat penghala yang dianggarkan bernilai RM36,000.
“Hasil pemeriksaan mendapati sindiket itu mula bergiat aktif sekitar awal April lepas di mana rumah banglo berkenaan dijadikan sebagai tempat menjalankan aktiviti tersebut.
“Kesemua suspek ini berperanan sebagai penyelia pusat panggilan dan pencari pelanggan serta menyasarkan mangsa dalam kalangan warga China,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Noor Hisam berkata sindiket itu dipercayai menawarkan pekerjaan dalam talian selain menjanjikan rebat tunai dalam mata wang Yuan kepada mangsa yang berjaya menyelesaikan beberapa arahan pembelian ditetapkan.
“Mangsa dijanjikan keuntungan dalam setiap pembelian yang disempurnakan namun apabila mangsa membuat pembayaran bagi pembelian tersebut, rebat tunai yang dijanjikan tidak diperoleh,” katanya.
Beliau berkata kesemua suspek kini direman selama empat hari bermula semalam hingga 6 Mei ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120 (B) Kanun Keseksaan.
“Pihak polis juga akan membuat semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia berkenaan status pasport kesemua suspek dan jika terdapat pelanggaran atau penyalahgunaan pas lawatan, tindakan akan turut dikenakan di bawah Akta Imigresen 1959,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial