WILAYAH - TENGAH > BERITA

KEDUDUKAN EKONOMI NEGARA KUKUH HADAPI IMPAK TARIF IMPORT AS - PM ANWAR

05/05/2025 01:56 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Kedudukan asas ekonomi negara yang kukuh diyakini mampu membolehkan Malaysia berdepan ketidaktentuan global secara terurus susulan pengumuman tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika menegaskan perkara itu, beliau berkata reformasi struktur yang dilaksanakan di bawah kerangka Ekonomi MADANI  juga dilihat dapat membantu negara untuk lebih berdaya tahan serta bersiap siaga mendepani ketidaktentuan ekonomi global.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata daya tahan ekonomi domestik itu juga menyukarkan Malaysia untuk terjebak dengan tekanan pihak luar.

“Satu hal yang ingin saya tegaskan, kita mengharungi kekacauan ini dengan asas ekonomi yang kukuh dan meyakini bahawa Malaysia mampu mendepani situasi ini secara terurus.

“Kita mempunyai angka dan data-data yang mampu dikendalikan serta dimanfaatkan secara bijak," kata beliau pada sesi penerangan Sesi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai tarif AS di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Anwar juga menyifatkan prestasi makroekonomi negara pada tahun lepas sebagai amat meyakinkan antaranya mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.1 peratus pada tahun 2024 berbanding 3.6 peratus pada 2023, malah pencapaian itu melebihi unjuran Belanjawan 2024 iaitu antara empat hingga lima peratus.

"Selain itu, kita berupaya mengurangkan defisit fiskal secara konsisten iaitu daripada 5.5 peratus pada 2022) kepada 5 peratus (2023), seterusnya 4.1 peratus (2024) dan unjuran 2025 pula pada kadar 3.8 peratus," kata beliau.

Anwar berkata Malaysia telah mencatat pelaburan diluluskan sebanyak RM378.5 bilion pada 2024 yang juga paras tertinggi dalam sejarah negara dengan peningkatan 14.9 peratus berbanding RM329.5 bilion pada 2023. 

Atas alasan itu juga, Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan mengambil serius tindakan AS mengenakan tarif timbal balas itu.

“Justeru, mengambil kira kepentingan AS sebagai destinasi eksport dan sumber pelaburan asing terbesar Malaysia, kerajaan berpendirian bahawa sebarang cabaran terhadap hubungan perdagangan perlu ditangani secara pragmatik dan berteraskan kepentingan negara, di samping mengekalkan hubungan baik dengan semua rakan dagang Malaysia," kata beliau.

Pada masa sama,  Perdana Menteri berkata negara-negara yang sehaluan selain rangkaian untuk menangani isu ini telah dipertingkatkan melalui perbincangan, terutama dengan negara-negara ASEAN, China, Jepun dan serantau.

Isu berkenaan juga, kata beliau, dijangka menjadi agenda utama Sidang Kemuncak ASEAN bersama negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China pada akhir bulan ini.

“Berdasarkan pemerhatian awal, prestasi eksport Malaysia kekal di landasan kukuh, khususnya eksport elektrikal dan elektronik (E&E) yang masih mengekalkan momentum pertumbuhan menggalakkan.

“Dengan penangguhan pelaksanaan tarif timbal balas, impak perdagangan Malaysia dijangka masih lagi terkawal dalam tempoh terdekat ini," kata beliau.

Perdana Menteri berkata menerusi segala ikhtiar reformasi struktur yang giat dilaksanakan, kerajaan MADANI telah membina ekosistem rantaian bekalan yang teguh serta mempelbagai produk dan pasaran eksport negara.

Ini bagi memastikan kita tidak terlalu bergantung kepada mana-mana pasaran mahupun produk yang terdedah kepada kejutan luaran," kata Anwar.

Beliau berkata usaha yang berterusan dalam membina daya tahan ekonomi domestik juga membolehkan negara mencapai kestabilan ekonomi dengan ruang fiskal yang mencukupi.

"Ini telah membantu negara untuk berhadapan dengan sebarang krisis ekonomi dan kewangan. Kerajaan yakin tindak balas dasar berasaskan data dan terancang, berupaya menangani ketidaktentuan semasa.

"Mekanisme pemantauan telah diaktifkan dan tindakan bersasar akan dilaksanakan mengikut keperluan bagi membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas," kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan