WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SIASATAN TERMASUK DAKWAAN PAMELA LING DILARIKAN INDIVIDU MENYAMAR POLIS - KPN

05/05/2025 07:55 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Polis sedang menyiasat kemungkinan Pamela Ling Yueh dilarikan oleh individu yang menyamar sebagai anggota polis atau pihak berkuasa yang sah, susulan kehilangan wanita itu sejak 9 April lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan turut mengambil kira keterangan pemandu e-hailing yang membawa wanita terbabit ke bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari kejadian selain semakan rakaman kamera litar tertutup.

"Pada masa ini semua maklumat dan keterangan daripada saksi-saksi yang dipanggil, termasuk kenyataan daripada pemandu e-hailing yang membawa Pamela sedang dikumpulkan.

"Kita masih menyiasat dakwaan berhubung mangsa dilarikan oleh individu berpakaian seragam atau vest polis,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pihaknya tidak dapat mendedahkan secara terperinci perkembangan siasatan kes terbabit kerana bimbang akan menjejaskan perancangan serta tindakan lanjut yang bakal diambil.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk membantu Polis Kontinjen Kuala Lumpur dalam siasatan ini, selain usaha menjejaki keberadaan mangsa,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada penculikan Ling dirancang pihak tertentu disebabkan aset dan harta yang dimiliki mangsa namun tidak menolak kemungkinan kes terbabit dirancang untuk mewujudkan kesalahan pada pasukan SPRM dan PDRM.

Ling, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM dengan menaiki kereta perkhidmatan e-hailing pada 9 April lepas untuk memberi keterangan berhubung satu siasatan yang sedang dijalankan dan polis menerima laporan berhubung kehilangannya pada 3.02 petang hari yang sama.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata seramai 12 saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan dan pihaknya tidak menerima sebarang laporan tuntutan wang tebusan berkait kehilangan wanita terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan seseorang dengan niat untuk mengurungnya secara salah.

-- BERNAMA


 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan