WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TIGA AHLI JKMR BAHARU DILANTIK, PERKUKUH INTEGRITI DAN TADBIR URUS NEGARA - PM

05/05/2025 05:21 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap pelantikan tiga Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang baharu dapat memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan mempertingkat integriti dan tadbir urus.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata jawatankuasa itu berperanan penting dalam menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek berkaitan isu rasuah dan meneliti Laporan Tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pelantikan Ahli JKMR ini diharap dapat memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan mempertingkat integriti dan tadbir urus, sejajar aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam sistem pentadbiran negara,” kata beliau.

Terdahulu, Anwar menyampaikan surat cara pelantikan kepada Ahli Dewan Negara Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan serta Ahli Parlimen Langkawi Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

Pelantikan itu adalah bagi tempoh tiga tahun dan berkuat kuasa pada 25 April lepas.

Penyampaian surat cara pelantikan itu turut disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki di Bangunan Parlimen di sini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan