WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PELAJAR UNIVERSITI PERLU SEGERA SESUAIKAN DIRI DENGAN PERUBAHAN GLOBAL YANG PANTAS - PM ANWAR

05/05/2025 05:43 PM

SHAH ALAM, 5 Mei (Bernama) -- Pelajar institusi pengajian tinggi perlu segera menyesuaikan diri dengan perubahan agar tidak ketinggalan arus pembangunan global yang pantas, demi memastikan kemajuan holistik untuk diri sendiri dan juga negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata aspek kualiti adalah amat penting ketika dunia bergerak ke arah pendigitalan, pelaksanaan Kepintaran Buatan (AI), dan peralihan tenaga, yang kesemuanya sedang dibincangkan secara meluas dalam era ini.

Beliau turut menggesa pelajar supaya tidak melihat pemerolehan ilmu sebagai satu cara untuk mencapai kegemilangan kewangan, sebaliknya lebih memberikan tumpuan terhadap usaha untuk menyumbang kepada negara, selaras dengan konsep MADANI.

“Pemerolehan ilmu adalah untuk menyebarkan apa yang adil dan benar, itulah cabarannya – Dalam kerangka MADANI kita bercakap tentang nilai, etika, maruah manusia, peranan kita untuk memastikan kita mempunyai masyarakat yang adil dan saksama dan itulah peranan belia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi dialog Temu Anwar Intitut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Management and Science University (MSU) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapha Sakmud dan Presiden MSU Prof Tan Sri Mohd Shukri Ab Yajid. 

Anwar dalam ucapannya turut menasihatkan golongan muda supaya tidak terlepas pandang terhadap nilai asas ilmu, kerana dunia sebenarnya mencapai kemodenan pada tahap berbeza. 

"Terdapat defisit sekarang, apabila bercakap tentang apa yang berlaku dengan dunia, kita memanggilnya tempoh Postnormal - iaitu sebuah dunia yang huru-hara, percanggahan kebenaran dan keadilan telah menjadi relatif, anda boleh berada dalam satu komuniti dan menyokong orang lain, atau anda boleh menyokong beberapa penyangak dan diktator, dan mempertahankannya, merasionalkan tindakan anda.

“Itulah sebab mengapa kita kembali kepada yang asas, isu asas mengapa anda berada di sini, pemerolehan dan asimilasi ilmu, tetapi ingat, yang anda bukan keramat, anda adalah manusia biasa yang mempunyai nilai dan etika," katanya.

Anwar ketika berdialog dalam program berkenaan turut menegaskan kepentingan AI, dengan menyifatkan teknologi berkenaan sebagai keperluan yang semakin mendesak mengambil kira negara yang kekurangan tenaga pakar dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi telah diarahkan menyelaras perkara berkenaan, sama ada di Universiti Awam (UA) atau swasta, bagi memastikan elemen AI diperkasakan di universiti masing-masing.

"Jadi saya usulkan supaya kuasai pilihan itu, kerana ia sangat diperlukan dan negara kekurangan puluhan ribu jurutera dan kepakaran AI, jadi kalau saudara ada kemahiran (AI) potensinya sangat besar, sebab itu saya cadangkan tumpuan diberikan terhadap perkara itu," katanya. 

Perdana Menteri berkata dalam mendepani perkara tersebut, kerajaan telahpun mengarahkan UA untuk menubuhkan fakulti AI atau memasukkan elemen teknologi baharu itu dalam fakulti sedia ada bagi mengurangkan jurang ketidakpadanan graduan dengan pasaran pekerjaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan