WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DEWAN RAKYAT RAKAM TAKZIAH PEMERGIAN TUN ABDULLAH

05/05/2025 12:31 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini merakamkan ucapan takziah dan penghormatan kepada Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 14 April lepas.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul memohon Ahli-Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang beragama Islam menghadiahkan al-Fatihah serta yang bukan beragama Islam bertafakur selama seminit.

Terdahulu, Johari menyifatkan Allahyarham Abdullah sebagai seorang tokoh negarawan, pemimpin yang ulung, berjiwa rakyat dan besar jasa serta sumbangannya kepada negara.

“Sesungguhnya, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan yang besar, amat dirasai segenap lapisan masyarakat di negara ini,” katanya dalam pemasyhuran sebelum sesi penerangan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai tarif Amerika Syarikat hari ini. 

Sementara itu, Perdana Menteri ketika berucap sebelum memulakan sesi penerangan, menyifatkan Abdullah sebagai satu susuk penting yang telah merangka beberapa pembaharuan awal dan reformasi termasuk melibatkan Parlimen Malaysia.

Anwar berkata jasa dan khidmat bekas Perdana Menteri itu yang amat cemerlang kepada negara akan terus dikenang sepanjang zaman.

“Saya ingin zahirkan ucapan takziah kepada keluarga (Tun Abdullah), anak Pulau Pinang dan Kepala Batas, negara sudah beri penghormatan tertinggi kepada Allahyarham (Istiadat Pengebumian Negara) dengan jenazahnya disemadikan di Makam Pahlawan (di Masjid Negara),” katanya.

Tun Abdullah, yang mesra disapa “Pak Lah”, meninggal dunia pada usia 85 tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan