WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TUNTUTAN PALSU C4I, PDRM BERI KERJASAMA PENUH KEPADA SPRM

25/04/2025 12:10 AM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu Perolehan Kontrak Perkhidmatan Penyelenggaraan Sistem Command & Control, Communication & Computer Integration (C4i) yang turut melibatkan dua pegawai polis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata dua pegawai berkenaan yang berpangkat Superintendan dan Inspektor kini ditahan reman selama tujuh hari bermula pada hari ini.

Razarudin berkata Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman juga telah menjalankan audit kewangan terhadap kontrak C4i pada tahun lepas dan mendapati terdapat pembayaran yang tidak sepatutnya kepada sebuah syarikat sebelum melaporkannya kepada SPRM untuk tindakan lanjut.

"Apa-apa kesalahan membabitkan rasuah yang kita (PDRM) temukan dalam siasatan, kita akan bekerjasama dengan SPRM termasuk dalam kes ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, SPRM dilaporkan mereman enam individu berumur lingkungan 30 dan 50-an termasuk seorang pengarah syarikat, ketua pegawai kewangan (CFO) dan dua pegawai polis disyaki terlibat tuntutan palsu bernilai kira-kira RM15 juta bagi perolehan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan sistem C4i.

Perintah reman hingga 30 April itu dikeluarkan Majistret Muhammad Fadzlan Mohd Noor selepas menerima permohonan SPRM di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan