Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali
KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- ASEAN perlu segera mempelbagaikan hubungan perdagangan dan pelaburan bagi meningkatkan daya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global, kata Felo Kanan di Institut ISEAS – Yusof Ishak, Dr Jayant Menon.
Berucap pada Forum Komuniti Dasar Luar Indonesia (FPCI) bertajuk ASEAN Community Building: Road to ASEAN Vision 2045 yang diadakan di sini, Khamis, Menon yang juga ahli ekonomi veteran dan bekas pegawai Bank Pembangunan Asia (ADB) berkata rantau ini tidak lagi boleh bergantung secara berlebihan kepada mana-mana rakan ekonomi tunggal.
Ini memandangkan persekitaran perdagangan global yang semakin tidak menentu, terutamanya tindakan Amerika Syarikat untuk menempatkan kembali industrinya ke dalam negara dan mengurangkan libat urus dengan pihak asing..
“Kebergantungan berlebihan kepada satu negara adalah suatu masalah. Dalam krisis ini, kita perlu mengambil peluang untuk meneroka corak perdagangan dan pelaburan yang lebih pelbagai bagi mengurangkan risiko kejutan spesifik negara,” katanya.
Menon berkata, Wawasan ASEAN 2045 yang berteraskan daya tahan, keterangkuman dan kemampanan memerlukan perhatian segera terhadap pembaharuan struktur termasuk dalam mobiliti tenaga kerja, pembangunan modal insan serta tindakan iklim – bidang-bidang yang masih ketinggalan dalam kalangan negara anggota.
“Kita perlu berani berubah. Isu mobiliti tenaga kerja dalam ASEAN perlu ditangani dengan serius sebelum 2045. Usaha itu mesti dimulakan dari sekarang,” katanya.
Dari segi kemampanan, beliau menggesa ASEAN untuk terus menggalakkan pertumbuhan hijau tanpa mengira perubahan politik di luar, termasuk kebangkitan semula pemikiran skeptis terhadap iklim di Amerika Syarikat.
“Kita tidak boleh biarkan hal itu mengganggu usaha kita,” katanya sambil menekankan kepentingan menyelaraskan pembangunan ekonomi dengan matlamat alam sekitar.
Menyentuh cabaran ketidaksamaan dalam rantau ini, Menon berkata walaupun jurang pembangunan antara negara anggota semakin mengecil, ketidaksamaan dalam negara masing-masing semakin ketara merentasi jantina, etnik dan geografi.
Beliau menyeru supaya dilaksanakan pembaharuan yang menggabungkan prinsip pasaran dengan perlindungan sosial.
“Kita perlu ubah wajah kapitalisme, bawa masuk unsur sosialisme yang lebih inklusif tanpa menyingkirkan keseluruhan sistem,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Utama kepada Presiden Timor-Leste Nelson Santos menegaskan komitmen negaranya untuk menyertai ASEAN, menyifatkan blok serantau itu sebagai model keamanan dan kestabilan yang menjadi inspirasi kepada pembinaan negara Timor-Leste.
“Bagi kami, ASEAN bukan sekadar blok politik atau ekonomi. Ia adalah satu identiti. Kami percaya penyertaan dalam ASEAN akan memajukan Timor-Leste melalui integrasi yang lebih mendalam, kestabilan politik dan penglibatan serantau yang lebih luas,” katanya.
Santos turut menekankan kepentingan pemerkasaan belia memandangkan lebih 70 peratus penduduk Timor-Leste berumur bawah 30 tahun.
Beliau mencadangkan agar program pertukaran pelajar ASEAN diperluas serta mencadangkan penjenamaan semula Sukan Asia Timur kepada inisiatif sukan ASEAN yang lebih besar bagi mengukuhkan perpaduan serantau dalam kalangan belia.
“Kami adalah golongan yang bermimpi – kami pernah bermimpi untuk merdeka dan berjaya mencapainya. Kini kami bermimpi untuk menjadi anggota penuh ASEAN,” katanya sambil menambah bahawa Timor-Leste telah giat mendidik rakyatnya tentang nilai dan peluang dalam ASEAN.
Forum sehari anjuran FPCI di Kuala Lumpur itu menghimpunkan pelajar institusi pengajian tinggi, profesional muda, ahli akademik dan komuniti diplomatik untuk menilai aspirasi ASEAN menjelang 2045 dalam landskap geopolitik dan ekonomi semasa.
Turut hadir pada forum ialah Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Setiausaha Rendah Bahagian Keselamatan Awam dan Hal Ehwal Konsul, Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina, Jesus “Gary” S. Domingo.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial