AM > BERITA

PM Anwar Kecam Serangan Di Kashmir, Seru Keadilan Dan Perpaduan

25/04/2025 12:19 AM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya serangan terbaharu di Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India, menyifatkan ia sebagai serangan yang dirancang dan tidak berperikemanusiaan.

Anwar memetik laporan bahawa mangsa sengaja diasingkan sebelum dibunuh dan kekejaman itu tidak boleh diterima serta tiada tempat dalam mana-mana masyarakat bertamadun.

"Bagi pihak semua rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Kami mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih," kata beliau menerusi hantaran Facebook hari ini.

Anwar berkata ketika saat-saat tragedi ini, kebijaksanaan dan kesabaran adalah penting dan tindakan keganasan yang boleh menyebabkan perpecahan ini tidak boleh dibiarkan.

"Sebaliknya, marilah kita mengukuhkan lagi komitmen bersama – di rantau ini dan antarabangsa – terhadap keamanan, keadilan dan maruah insan," kata beliau.

Perdana Menteri turut menyeru komuniti antarabangsa untuk menyokong usaha mengenal pasti dan mendakwa pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan terbabit.

"Kita juga perlu memastikan mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan, supaya kekejaman sebegini tidak berulang dan tidak diberi pengiktirafan," kata beliau.

Sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh apabila lelaki bersenjata tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah pelancong di Kashmir pada Selasa, memaksa Perdana Menteri India Narendra Modi memendekkan lawatannya ke Arab Saudi.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan