KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan penggunaan aplikasi MyDigital ID diperluaskan, khususnya bagi urusan pembayaran saman trafik.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata walaupun penggunaan MyDigital ID masih belum diwajibkan, ia merupakan sebahagian daripada dasar transformasi digital kerajaan.
“Malah, kerajaan telah bersetuju untuk meminda Akta Pendaftaran Negara 1959 bagi membolehkan pelaksanaan identiti digital ini secara rasmi dan menyeluruh.
“Langkah ini masih di peringkat cadangan dan belum diluluskan Parlimen. Namun, kita menggalakkan orang ramai untuk mula menggunakan aplikasi ini sebagai kaedah pengesahan identiti dalam sebarang urusan,” katanya ketika berucap pada Majlis sambutan Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Titiwangsa di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa semua urusan melibatkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) selepas ini akan mengutamakan pengguna yang berdaftar dengan MyDigital ID.
“Menariknya, diskaun saman yang ditawarkan kepada pengguna aplikasi ini juga akan lebih tinggi. Jika sebelum ini diskaun sebanyak 50 peratus diberikan, menerusi MyDigital ID, pengguna mungkin boleh menikmati diskaun sehingga 55 peratus. Pendaftarannya juga mudah, hanya menggunakan telefon dan prosesnya pantas,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Pada majlis berkenaan, Saifuddin turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf, anak yatim, balu serta kanak-kanak autisme dalam kalangan warga PDRM.
Pada majlis itu, Saifuddin Nasution turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf, anak yatim, balu dan kanak-kanak autisme dalam kalangan warga PDRM.
Selain itu, PDRM turut membuka kaunter bayaran saman trafik dengan tawaran diskaun sehingga 50 peratus bagi saman terpilih di kawasan Astaka Taman Tasik Titiwangsa.
Majlis tersebut turut menjadi platform mengeratkan silaturahim antara warga PDRM dan masyarakat, dengan kehadiran ramai pengunjung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial