WILAYAH - SARAWAK > BERITA

GUNA INFRASTRUKTUR PELABUHAN, TANGANI ISU KENDERAAN BERAT LEBIH MUATAN - LOKE

24/04/2025 03:43 PM

PELABUHAN KLANG, 24 April (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan akan menggunakan infrastruktur pelabuhan sebagai kaedah tambahan bagi memperluaskan tindakan penguatkuasaan menangani isu kenderaan berat lebih muatan, bermula 1 Julai ini.

Menterinya Anthony Loke berkata pendekatan sedia ada yang memerlukan pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan kenderaan berat dan kemudian dibawa ke stesen timbang, dilihat mengehadkan aktiviti penguatkuasaan dari segi jumlah yang boleh diperiksa. 

Beliau berkata sebagai permulaan langkah menambah baik penguatkuasaan demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya itu, hanya akan dikuatkuasakan di semua pelabuhan Persekutuan di Semenanjung Malaysia. 

"Pada 25 Nov 2024, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) dan dalam mesyuarat tertutup tersebut, saya telah memaklumkan pemain industri logistik untuk bersiap sedia. 

"Ini kerana kementerian akan mula mengambil langkah yang lebih tegas terhadap kenderaan berat, terutamanya berkaitan isu lebihan muatan, demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Latihan Pemandu Lori Pengangkut Kereta untuk Pengendalian Kenderaan Elektrik (EV) di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Loke berkata bagi transaksi import, semakan akan dibuat di peringkat tempahan yang sekiranya jumlah muatan melebihi berat gabungan kenderaan, sistem akan menolak tempahan secara automatik dan kenderaan terlibat tidak dibenarkan memasuki pelabuhan untuk mengambil kargo tersebut. 

Bagi transaksi eksport, beliau berkata kenderaan akan ditimbang di pintu masuk pelabuhan dan jika didapati membawa muatan melebihi berat gabungan kenderaan, maka kenderaan tersebut akan disekat daripada menghantar kargo ke pelabuhan.

"Perincian yang selanjutnya mengenai dasar terhadap kesalahan lebihan muatan ini akan dimaklumkan oleh Lembaga Pelabuhan masing-masing kepada pemain industri," katanya. 

Loke berkata langkah bagi menambahbaik keselamatan itu yang dijangka akan meningkatkan kos kepada penyedia perkhidmatan terbabit, penting bagi menangani isu berkenaan yang telah lama menjadi perbincangan membabitkan keselamatan jalan raya. 

"Seperti yang kita tahu banyak kenderaan‘consignee’ atau pengeksport ini mereka nak bawa lebihan muatan dalam satu kontena, jadi apabila peraturan ini dikuatkuasakan mungkin kos akan meningkat sedikit sebab tak boleh bawa muatan lebih dalam satu kontena tetapi ini adalah demi keselamatan. 

"… dan sekarang ini isu keselamatan jadi penting, kemalangan jalan raya kerap berlaku melibatkan kenderaan berat dan antara punca dikenal pasti ialah lebih muatan, jadi ia mesti ditangani walaupun saya tahu saya akan dikecam, dikritik oleh sebilangan pihak yang tidak berpuas hati dan sebagainya tapi ini sesuatu yang penting untuk kita laksanakan demi keselamatan," katanya.  

Ditanya mengenai penguatkuasaan terhadap kenderaan berat daripada kawasan industri lain seperti kilang balak dan sebagainya, Loke berkata pihaknya sedang dalam proses merangka strategi yang berlainan. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan