WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MOT KAJI MEKANISME LEBIH TELUS CAJ PELABUHAN - LOKE

22/04/2025 04:47 PM

PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang mengkaji mekanisme yang lebih tersusun berhubung caj pelabuhan bagi memastikan kelestarian pelabuhan negara serta keseimbangan antara keperluan pasaran dan pembangunan kapasiti.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata semakan caj ketika ini didakwa tidak konsisten dan telus.

"Jadi kita nak buat satu sistem yang lebih telus dan tersusun di mana ada semakan berkala maksudnya ada kaji semula caj itu secara tahunan mungkin mengikut satu formula yang lebih rendah.

"Umpamanya ada kenaikan CPI (Indeks Harga Pengguna), ia punya kadar inflasi tahunan berapa, katakan kadar inflasi tahunan ialah dua peratus maka kenaikan caj itu mungkin secara beransur-ansur tidak mendadak seperti pada hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan majlis Raikan Kasih MADANI 2025, di sini hari ini.

Loke berkata perkara itu akan diperhalusi bagi memastikan semua pihak dapat menerima dengan lebih baik serta pelabuhan negara kekal kompetitif.

"Kalau kita tak melihat kepada kenaikan ataupun penilaian semula caj ini, hasil pihak operator pelabuhan mereka berkurangan sudah tentu mereka tak melabur untuk meningkatkan kapasiti.

"Jadi kita kena mengimbangkan antara keperluan pasaran dan juga keperluan pembangunan kapasiti," katanya.

Mengenai gesaan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) agar kerajaan menangguhkan pelaksanaan cadangan kenaikan tarif pelabuhan sebanyak 30 peratus khususnya untuk pengendalian dan penyimpanan kontena, Loke berkata Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA) dan Pihak Berkuasa Pelabuhan Johor (JPA) belum menghantar apa-apa dokumen untuk kelulusan akhir atau diwartakan.

Loke menjelaskan Lembaga Pelabuhan akan menilai caj berkenaan dari semasa ke semasa apabila ada permintaan daripada operator dan bukannya mengikut jadual khusus.

"Kenaikan caj pelabuhan tarif pelabuhan ini ialah satu tarif yang dikawal sedia ketat oleh Lembaga Pelabuhan, bukan sesuka (hati) naik," katanya.

Menurut menteri semakan terakhir dilakukan 10 tahun lepas menerusi dua fasa iaitu 15 peratus pada 2015 dan 15 peratus lagi pada 2018.

"Tahun lalu kita ada proses menilai semula caj itu. Caj itu melalui pelbagai proses konsultasi dengan pihak pemegang taruh melalui jawatankuasa konsultatif di peringkat pelabuhan.

"Cadangan yang dibawa kenaikan 30 peratus kali ini dilaksanakan secara berfasa selama tiga tahun bukan sekali gus naik tetapi akan naik 15 peratus pada fasa pertama, 10 peratus (fasa kedua) dan fasa ketiga (lima peratus)," katanya.

Sebelum ini Bernama melaporkan FMM memohon supaya kerajaan menangguhkan pelaksanaan cadangan kenaikan tarif pelabuhan sebanyak 30 peratus khususnya untuk pengendalian dan penyimpanan kontena.

Ini kerana kenaikan itu akan memberi implikasi besar terhadap kos menjalankan perniagaan bagi pihak pengilang dan syarikat pengangkutan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan