SUKAN > BERITA

LIGA PUTERI PLATFORM KELAB BOLA SEPAK WANITA CUNGKIL BAKAT BAHARU

17/05/2025 06:37 PM

PETALING JAYA, 17 Mei (Bernama) -- Kejohanan Liga Puteri kekal sebagai platform utama bagi kelab bola sepak profesional untuk mencungkil bakat baharu pemain wanita.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Siti Faidul Maisarah Abdullah berkata beberapa pemain muda yang menonjol dalam edisi lepas mula menerima tawaran menyertai program pembangunan lebih tersusun, sekali gus membuktikan keberkesanan liga ini sebagai platform pembangunan bakat.

"Liga Puteri boleh dianggap sebagai titik permulaan kepada pemain muda untuk melangkah lebih jauh. Mereka berpeluang diserap ke dalam kelab atau pasukan lain yang lebih kompetitif, selain menyertai liga anjuran persatuan bola sepak negeri,” katanya selepas merasmikan majlis pembukaan Liga Puteri di Padang PKNS di sini hari ini. 

Siti Faidul Maisarah yang juga Exco FAM berkata Liga Puteri yang dianjurkan tahun ini mendapat sambutan menggalakkan hasil sokongan ibu bapa pemain.

"Mungkin dari segi kesedaran ibu bapa yang sudah meluas tentang masa depan bola sepak wanita telah menyumbang kepada bilangan penyertaan dalam Liga Puteri. Ini menunjukkan peningkatan ketara dari segi penyertaan dan kualiti pasukan," katanya.

Sebanyak 16 pasukan bawah 16 tahun (B-16) akan bersaing dalam saingan Liga Puteri untuk merebut tempat dalam dua divisyen utama di Liga Puteri iaitu Division Elite dan Division 1.

Pasukan bertanding di peringkat kelayakan ini akan dibahagikan kepada empat kumpulan, dengan setiap pasukan bermain tiga perlawanan yang menjadikan Liga Puteri musim ini lebih kompetitif.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan