POLITIK > BERITA

WAKIL RAKYAT GPS DIINGAT TIDAK LUPA TANGGUNGJAWAB, AMANAH

18/05/2025 12:25 AM

SIBU, 17 Mei (Bernama) -- Wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) diingatkan supaya tidak lupa tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan rakyat serta mengekalkan keharmonian dalam gabungan itu demi masa depan rakyat Sarawak.

Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing berkata kedudukan yang disandang wakil rakyat bukanlah lambang darjat sebaliknya mandat yang harus dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab terhadap rakyat.

“Kerusi yang kita duduki bukanlah satu kebanggaan peribadi tetapi adalah kepercayaan rakyat untuk kita memperjuangkan hak dan nasib mereka tanpa mengira kaum dan agama,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra Gawai 2025 anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Pusat Khidmat PDP Dudong dan PDP Sibu malam ini.

Tiong, yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya serta Ahli Dewan Undangan Negeri Dudong berkata semangat setiakawan dalam kalangan parti komponen GPS perlu dipelihara serta dipertingkat dari semasa ke semasa.

Beliau turut menyokong saranan Naib Presiden Kanan PDP Datuk Seri Wong Soon Koh agar semua anggota GPS mengelakkan tindakan yang mampu melemahkan antara satu sama lain termasuk gerakan di peringkat akar umbi untuk saling menjatuhkan.

“Kita perlu menghormati satu sama lain. Sikap angkuh atau ego dalam kalangan pemimpin hanya akan meretakkan hubungan dalam GPS dan memberi kelebihan kepada pihak lawan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan perpecahan dalam gabungan itu boleh membawa kemusnahan seperti yang berlaku dalam beberapa parti politik di Semenanjung Malaysia.

“Kalau parti kita tidak aman, akhirnya rakyat akan hilang kepercayaan dan kita akan dibuang begitu sahaja,” katanya.

Sehubungan itu, Tiong berkata keharmonian dan perpaduan adalah asas penting untuk semua komponen GPS mencapai misi bersama dalam memperjuangkan hak rakyat dan membangunkan Sarawak secara menyeluruh.

“Kalau kita bersatu, tidak ada siapa boleh menggugat kita. Fokus utama kita adalah untuk memastikan rakyat Sarawak terus maju dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan