SUKAN > BERITA

KONSEP PIALA DUNIA 2025 MIRIP SUKAN KOMANWEL 2026- PLBM

17/05/2025 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Kuala Lumpur bakal menjadi gelanggang ujian kepada pendekatan baharu yang akan digunakan pada temasya Sukan Komanwel 2026 apabila Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025 membuka tirainya di sini dari 4 hingga 8 Nov ini.

Kejohanan yang bakal berlangsung secara tertutup itu turut menyaksikan pendekatan sama yang akan diguna pakai di Glasgow, Scotland tahun depan, sekali gus menjadikan Malaysia negara pertama menguji penggunaan gelanggang mudah alih atau portable ring mengikut piawaian antarabangsa.

Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) Datuk Awalan Abdul Aziz berkata beberapa fasiliti sedia ada bakal ditambah baik termasuk pemasangan gelanggang mudah alih bagi memenuhi kehendak badan induk dunia.

“Kita akan buat secara tertutup dan bina satu portable ring yang akan digunakan pada Sukan Komanwel 2026. Struktur ini sudah diluluskan oleh World Bowls dan kita akan pasang di atas permaidani sedia ada,” katanya ketika ditemui pada Fiestabowls Segambut 2.0 di Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Proses perolehan peralatan dijangka bermula dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang memandangkan sebahagian besar atlet negara belum berpeluang berlatih di atas gelanggang jenis itu.

Setakat ini, hanya dua pemain – Nor Farah Ain Abdullah dan Izzat Shameer Dzulkeple – pernah beraksi atas portable ring, katanya.

Dalam pada itu, dua gelanggang utama akan digunakan sepanjang kejohanan termasuk satu yang bakal ditukar sepenuhnya kepada struktur marquee bagi memastikan kelancaran kejohanan bertaraf dunia itu.

Piala Dunia 2025 yang menghimpunkan 12 negara terbaik dunia termasuk Malaysia bakal mempertandingkan tujuh pingat emas merangkumi acara perseorangan (singles) dan berpasangan (pairs) lelaki dan wanita, selain tiga kategori khas untuk atlet para.

Bagaimanapun, Awalan menjelaskan bahawa masih terlalu awal untuk meletakkan sebarang sasaran buat kontinjen negara memandangkan sebahagian besar pemain belum memiliki pengalaman beraksi di atas portable ring.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan