KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Skuad Sri Pahang FC berpesta gol apabila membelasah Kedah Darul Aman (KDA) FC 6-0 pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang malam ini.
Pesta gol Sri Pahang bermula pada minit ke-37 menerusi tendangan deras Sergio Fabian Aguero ketika situasi kelam-kabut dalam kotak penalti pasukan pelawat.
Skuad kendalian Fandi Ahmad berjaya meraih satu lagi gol pada penghujung babak pertama menerusi Aleksandar Cvetkovic yang menyambut sepakan sudut Aguero.
Bersambung babak kedua, skuad Tok Gajah terus mengamuk menerusi gol ketiga T. Saravanan pada minit ke-59 sebelum Aguero meledak jaringan kedua peribadi selang lapan minit kemudian.
Bagai jatuh ditimpa tangga, skuad Sang Kenari terus dirundung malang apabila pemain pertahanannya Muhammad Safwan Shuhaimi menjaringkan gol sendiri pada minit ke-76.
Pemain import Stefano Brundo melengkapkan malam bergaya Sri Pahang apabila sepakan kencangnya membolosi gawang KDA FC pada minit ke-83.
Keputusan itu menyaksikan Pahang naik ke tangga kesembilan liga dengan mengumpul 23 mata manakala kekalahan ke-11 KDA FC mengekalkan kedudukan pasukan dari utara itu di tangga ketiga tercorot dengan 20 mata.
Terdahulu jaringan tunggal pertahanan Sabah FC, Dominic Tan sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan ke-11 buat skuad Sang Badak yang menang tipis 1-0 ke atas PDRM FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Sabah kini naik satu anak tangga untuk berada di kedukan ketiga liga dengan mengumpul 39 mata manakala PDRM kekal di tangga kelapan menerusi 24 mata.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial