KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Skuad bola sepak wanita kebangsaan kendalian Soleen Al-Zoubi bakal berdepan cabaran getir apabila menghadapi beberapa kejohanan utama tahun ini.
Antaranya termasuk saingan Kelayakan Piala Asia 2026 yang dijadual berlangsung di Tajikistan dengan Malaysia diundi bersama Korea Utara, Palestin dan tuan rumah Tajikistan dalam Kumpulan H.
Menurut Soleen, kejohanan itu bakal menjadi medan penting buat pemain negara, namun beliau kekal realistik terhadap peluang Malayan Tigress memburu tiket ke pusingan akhir.
"Diundi bersama Korea Utara adalah cabaran besar buat kami. Mereka juga pernah muncul juara Piala Dunia Wanita Bawah 20 dan Bawah 17 tahun.
"Palestin dan Tajikistan juga bukan lawan mudah. Justeru, pemain perlu bersedia sepenuhnya untuk menghadapi semua perlawanan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Soleen turut mengingatkan anak buahnya agar bersiap sedia dari segi fizikal dan mental memandangkan perbezaan cuaca, waktu dan perjalanan jauh ke Tajikistan bakal menjadi antara cabaran utama.
“Jarak perjalanan yang jauh dan perbezaan waktu ketara turut memberi kesan, jadi persiapan rapi amat penting,” katanya.
Bagi memperkemaskan pasukan sebelum ke Tajikistan, beberapa perlawanan persahabatan dirancang dalam tempoh jendela FIFA bermula 19 Mei hingga 6 Jun ini.
"Selain mengasah skil pemain menerusi saingan Liga Wanita Nasional (LWN) musim ini, kita turut usaha atur aksi persahabatan antarabangsa untuk menguji keserasian pasukan," katanya.
Malaysia dijadual membuka kempen Kelayakan Piala Asia pada 23 Jun hingga 5 Julai depan, sebelum ke Sukan SEA 2025 di Thailand yang dijadual berlangsung dari 3 hingga 19 Disember ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial