PUTRAJAYA, 14 April (Bernama) -- Malaysia, sebagai antara kuasa besar dalam pasaran komoditi global dengan minyak sawit, getah, kayu, koko dan lada memacu ekonominya, menumpukan usaha melancarkan perdagangan untuk memupuk kepercayaan rakan dagang sekali gus mengukuhkan perdagangan dan pembangunan pasaran.
Perkara itu termasuk usaha untuk menyeragamkan piawaian pensijilan kebangsaan dan menjajarkannya dengan keperluan antarabangsa.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata piawaian yang dibangunkan di peringkat negara seperti Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR), dan Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) akan berfungsi sebagai instrumen pematuhan utama bagi industri masing-masing untuk memastikan pengeluaran yang bertanggungjawab.
“Standard ini dibangunkan melalui semangat kerjasama, kerjasama erat dengan peserta industri, organisasi masyarakat sivil, serta badan antarabangsa seperti Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya pada pelancaran Forum Dialog Perdagangan Perhutanan, Pertanian dan Komoditi (FACT) 2025 di sini hari ini.
Malaysia, yang secara rasmi mengambil alih jawatan pengerusi bersama Dialog FACT untuk 2025-2026 daripada Indonesia, komited membina legasi pendahulu dan terus bekerjasama dengan United Kingdom (UK) untuk meneruskan kemajuan dalam empat bidang tematik utama.
Bidang itu adalah pembangunan perdagangan dan pasaran, sokongan pekebun kecil, kebolehkesanan dan ketelusan, serta penyelidikan, pembangunan dan inovasi.
“Pendekatan kami adalah berasaskan prinsip ‘Tanggungjawab Bersama, Kemakmuran Bersama, Ke Arah Kemampanan’,” katanya.
Johari berkata di samping menekankan peranan penting kalangan pekebun kecil, Malaysia akan terus menyokong kira-kira 800,000 pekebun kecil di seluruh negara melalui setiap langkah usaha kemampanan mereka.
Bagaimanapun, tindakan mengecualikan mereka daripada rantaian bekalan global adalah tidak adil dan tidak produktif, katanya.
“Menerusi sokongan yang betul, pekebun kecil boleh mengamalkan amalan pertanian yang lebih baik, memperoleh pensijilan dan akhirnya mencatatkan hasil dan pendapatan yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata bantuan kerajaan termasuk dari segi kewangan, program pembinaan kapasiti, alat digital dan hubungan pasaran langsung.
Kalangan negara pengeluar seperti Malaysia telah mengambil langkah berani untuk menyeimbangkan pembangunan ekonomi dengan penjagaan alam sekitar, katanya.
Malaysia juga telah mengekalkan lebih 50 peratus litupan hutan dan memperkenalkan skim pensijilan kemampanan untuk meminimumkan penyahhutanan, katanya.
“Apabila kita memajukan agenda kemampanan, penting untuk mengenal pasti konteks dan sumbangan yang berbeza daripada negara pengeluar dan pengguna.
“Dialog terbuka dan persefahaman bersama adalah kunci untuk mencapai matlamat bersama kita iaitu kemampanan dan kemakmuran," katanya.
Johari berkata Malaysia juga amat komited terhadap agenda kemampanan global dengan aspirasi besar seperti mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050, mengurangkan keamatan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030, mengurangkan pelepasan metana sebanyak 30 peratus, dan mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan hutannya.
Dalam kenyataan bersama, Menteri Perubahan Iklim UK Kerry McCarthy berkata Forum FACT tahun ini akan menumpukan kalangan pekebun kecil.
“Membangunkan perdagangan mampan seharusnya membawa makna pertumbuhan dan peluang bagi semua pihak di sepanjang rantaian bekalan, terutama kalangan pekebun kecil yang merupakan pemacu utama perubahan dalam peralihan kepada sistem makanan terjamin,” katanya.
Sementara itu, Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto mengesahkan lagi komitmen negara pengeluar dan pengguna untuk menggalakkan perdagangan mampan dan memelihara ekosistem.
“Menerusi langkah menyepadukan pekebun kecil dengan rantaian bekalan yang mampan, kita bukan sahaja menjamin mata pencarian mereka malah juga mengukuhkan asas pertanian global,” katanya.
Beliau juga pengumumkan peralihan Indonesia daripada peranan sebagai pengerusi bersama Dialog FACT dan mengalu-alukan kepimpinan Malaysia.
Kenterian Perladangan dan Komodoti sedang menganjurkan Forum FACT 2025 bermula 14 hingga 17 April dengan mengangkat tema ‘Meningkatkan Sokongan untuk Pekebun Kecil’.
Tumpuan utama forum ini antaranya mesyuarat dua hala antara kerajaan Malaysia dan United Kingdom (UK), majlis perasmian serta lawatan turun padang ke Pulau Carey bagi sesi libat urus dengan pekebun kecil yang diperakui Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) termasuk komuniti orang asli Mah Meri.
Forum itu juga akan mengetengahkan sesi perbincangan dan perkongsian ilmu yang berterusan sepanjang acara itu berlangsung.
Forum FACT 2025 akan meneruskan kemajuan yang telah dicapai menerusi dialog terdahulu, terutamanya Forum FACT 2024 di Bali, Indonesia untuk meningkatkan sokongan kepada pekebun kecil dalam peralihan menuju sistem pengeluaran yang mampan dan berdaya tahan.
Dialog FACT dianggotai oleh 28 negara yang terdiri daripada 14 negara pengeluar termasuk Malaysia, Indonesia, Brazil, Cameroon, Colombia, Ghana, Liberia dan Nigeria, dan 14 negara pengguna seperti UK, Belgium, Kanada, Denmark, Perancis, Itali, Jerman, Amerika Syarikat dan Jepun, serta Kesatuan Eropah (EU).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial