EKONOMI > BERITA

MALAYSIA PERKASAKAN PEKEBUN KECIL, PERDAGANGAN MAMPAN DI FORUM FACT 2025 - JOHARI

13/04/2025 02:17 PM

Oleh Nurul Hanis Izmir

PUTRAJAYA, 13 April (Bernama) -- Malaysia bersedia untuk memegang peranan penting dalam memperkembangkan amalan perdagangan mampan dan inklusif apabila menjadi tuan rumah bersama Forum Perhutanan, Pertanian, Komoditi dan Perdagangan (FACT) 2025 buat kali pertama, dengan tumpuan utama kepada pekebun kecil dan pensijilan mampan.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, menerusi Forum FACT selama empat hari yang bermula esok, Malaysia berhasrat untuk memanfaatkan platform itu dalam menekankan komitmen mengimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab alam sekitar.

Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, beliau berkata turut ditekankan adalah hasrat untuk memperkasakan pekebun kecil agar berkembang maju dalam pasaran global yang semakin dikawal selia.

Menurutnya peranan negara sebagai Pengerusi Bersama Forum FACT adalah selaras dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2021–2030 (DAKN2030) yang mengintegrasikan kemampanan, keterangkuman dan kemakmuran.

Beliau berkata Malaysia berhasrat menyampaikan mesej jelas mengenai kesungguhannya dalam meneraju perdagangan mampan di peringkat global dan pada masa sama menjaga kebajikan rakyat, khususnya golongan pekebun kecil.

Pekebun kecil memainkan peranan penting dalam landskap agrikomoditi negara, dengan lebih 1.5 juta hektar atau 27 peratus ladang sawit berada dalam pengurusan mereka.

"Pekebun kecil adalah tulang belakang sektor agrikomoditi kami. Matlamat kami adalah untuk memperkasakan mereka dengan alat, piawaian, ketelusan dan akses pasaran yang diperlukan untuk berkembang maju secara mampan dan berdaya saing," katanya.

 

Malaysia Jadikan MSPO 2.0 Tumpuan Utama Global

Johari berkata, ketika pasaran antarabangsa khususnya Kesatuan Eropah (EU) meningkatkan perhatian terhadap isu kemampanan, Malaysia sedang memperteguh kedudukan menerusi inisiatif seperti Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) 2.0.

“Kami mempertingkat ketelusan dan kemampanan menerusi MSPO 2.0 yang pada masa ini telah diiktiraf dalam Peta Piawaian Pusat Dagangan Antarabangsa (ITC) -- pangkalan data piawaian kemampanan terbesar di dunia.

“Ini memperlihatkan pematuhan kami kepada keperluan global dan memberikan keyakinan yang lebih tinggi terhadap kredibiliti usaha kami.

“Kami komited untuk memenuhi jangkaan antarabangsa di samping memastikan keadilan kepada pekebun kecil dengan memudahkan akses mereka ke pasaran global,” kata beliau.

Beliau berkata Forum FACT akan menjadi platform yang sesuai pada masanya untuk memaparkan MSPO 2.0 sebagai piawaian kukuh dan diiktiraf di peringkat antarabangsa yang menyokong pekebun kecil melaksanakan amalan pertanian baik serta mematuhi keperluan kebolehkesanan dan kemampanan, termasuk Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

“MSPO 2.0 bukanlah semata-mata satu pensijilan -- ia adalah pasport kepada perdagangan global. Ia memperkasakan pekebun kecil dengan amalan pertanian baik, bahan tanaman berkualiti dan sistem kebolehkesanan yang dapat meningkatkan hasil dan daya saing -- sambil melindungi hutan kita,” katanya.

Johari berkata MSPO 2.0 akan menjadi topik utama dalam perbincangan dua hala dan pelbagai hala sepanjang berlangsungnya Forum FACT.

"Kami akan menekankan bagaimana MSPO merangkumi spektrum kemampanan sepenuhnya dan akan menyokong pengiktirafan antarabangsa khususnya berikutan ia telah diiktiraf dalam Peta Piawaian ITC," katanya.

 

Forum FACT 2025 Isyarat Kepimpinan Malaysia dalam Dialog Agrikomoditi Mampan

Kementerian Perladangan dan Komoditi akan menjadi tuan rumah kepada Forum FACT 2025 mulai esok hingga 17 April, bertemakan “Meningkatkan Sokongan Kepada Pekebun Kecil,” di Hotel Pulse Grande & Marina, Putrajaya.

Tumpuan utama forum ini antaranya meliputi mesyuarat dua hala antara kerajaan Malaysia dan United Kingdom (UK), majlis perasmian serta lawatan turun padang ke Pulau Carey bagi sesi libat urus dengan pekebun kecil yang diperakui MSPO, termasuk komuniti orang asli Mah Meri.

Forum ini juga akan membawakan sesi perbincangan dan perkongsian ilmu yang berterusan pada sepanjang acara itu berlangsung.

Forum FACT 2025 akan meneruskan kemajuan yang telah dicapai menerusi dialog terdahulu, terutamanya Forum FACT 2024 di Bali, Indonesia untuk meningkatkan sokongan kepada pekebun kecil dalam peralihan menuju sistem pengeluaran yang mampan dan berdaya tahan.

Sebagai antara pencapaian penting menjelang Persidangan Pihak ke-30 (COP30), forum ini akan memberi tumpuan untuk menawarkan akses kepada pembiayaan, memastikan jaminan kepada cara milik tanah dan mengintegrasikan pekebun kecil dalam pasaran global.

Forum ini juga akan menekankan mengenai kesaksamaan gender serta penyertaan masyarakat orang asli dan kelompok lain yang kurang mendapat perhatian. 

Aspek ini akan tercapai dengan melaksanakan pendekatan bersepadu meliputi semua bidang tematik menerusi Dialog FACT untuk memperkukuh impak, meningkatkan kerjasama bagi mengelakkan pertindihan usaha dan memastikan pekebun kecil menjadi tumpuan utama dalam peralihan global ke arah sistem makanan mampan.

Detik penting pada forum ini adalah peralihan peranan Pengerusi Bersama FACT yang menyaksikan Malaysia secara rasminya mengambil alih tanggungjawab itu daripada kerajaan Indonesia. Hadir sama adalah barisan menteri kanan Malaysia, UK dan Indonesia.

Dialog FACT yang dilancarkan semasa COP26 di Glasgow pada 2021 merupakan platform sukarela bagi menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam rantaian bekalan mampan.

Ia berbeza dengan EUDR yang menetapkan keperluan undang-undang mandatori kepada syarikat untuk membuktikan produk mereka bebas daripada aktiviti penebangan hutan.

Dialog FACT dianggotai oleh 28 negara yang terdiri daripada 14 negara pengeluar termasuk Malaysia, Indonesia, Brazil, Cameroon, Colombia, Ghana, Liberia dan Nigeria, dan 14 negara pengguna seperti UK, Belgium, Kanada, Denmark, Perancis, Itali, Jerman, EU, Amerika Syarikat dan Jepun.

EUDR menerima pakai pendekatan kawal selia dan berteraskan pematuhan manakala FACT menggalakkan dialog usaha sama dan komitmen bersama -- terutamanya dalam kalangan negara membangun dan negara pengeluar.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan