Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia terus ditutup lebih rendah pada Rabu, dipengaruhi oleh penurunan pasaran niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.
Katanya, sentimen pasaran turut terjejas oleh penurunan mendadak harga minyak yang dicetuskan oleh kebimbangan mengenai perang perdagangan global yang semakin meruncing.
Harga minyak mentah Brent merosot 3.55 peratus kepada US$60.66 setong.
“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh keyakinan terhadap lebih banyak rangsangan dari China dan gangguan bekalan getah asli (NR) daripada negara pengeluar utama NR berikutan musim daun pokok getah luruh,” katanya kepada Bernama.
Peniaga itu turut menyentuh mengenai niaga hadapan getah Jepun yang menyusut kepada paras terendah lebih satu tahun pada Rabu, ketika tarif 104 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas import dari China meningkatkan perang perdagangan global dan mencetus kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Standard Malaysia Rubber (SMR) 20 susut 32.5 sen kepada 738.5 sen sekilogram (kg), manakala lateks pukal turun 7.0 sen kepada 655.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial