EKONOMI > BERITA

NCER CATAT PELABURAN DIREALISASIKAN RM42.76 BILION DI PULAU PINANG PADA 2024

15/04/2025 06:22 PM

GEORGE TOWN, 15 April (Bernama) -- Pulau Pinang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pelaburan dan inovasi teknologi utama Malaysia, dengan pelaburan direalisasikan bernilai RM42.76 bilion dan mewujudkan hampir 9,000 peluang pekerjaan pada 2024.

Menurut Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dalam kenyataan hari ini, pencapaian ini adalah daripada kerjasama erat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Momentum positif ini diteruskan hingga 2025, dengan pelaburan direalisasikan RM13.3 bilion dan 3,000 pekerjaan baharu diwujudkan setakat suku pertama tahun ini,” katanya.

Terdahulu, perkembangan terkini ini dibincangkan pada Majlis Kerjasama Strategik bagi Kemajuan NCER Technology Innovation Centre (NTIC) dan NCER Entrepreneur Sustainable Transformation (NEST) di Komtar di sini hari ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang merasmikan acara itu menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk menyokong inisiatif yang dilaksanakan oleh NCER sejajar dengan Visi Penang2030 dan aspirasi Ekonomi MADANI.

Katanya NTIC dan NEST memainkan peranan penting dalam membangunkan ekosistem inovasi dan keusahawanan yang mampan di Pulau Pinang.

“Pada 2024, NTIC membantu merealisasikan pelaburan bernilai RM26.8 bilion dan mewujudkan lebih 900 peluang pekerjaan manakala NEST berjaya meningkatkan jualan tahunan terkumpul syarikat tempatan sebanyak RM197 juta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Mohamad Haris Kader Sultan berkata NTIC, yang terletak di Bayan Lepas menyasarkan untuk mengukuhkan ekosistem perindustrian melalui tiga inisiatif utama iaitu Pusat Kecemerlangan, Program Meister Teknologi Lanjutan serta Teknologi dan Inovasi.

Katanya pusat itu dijangka menjadi hab kerjasama untuk perusahaan kecil dan sederhana tempatan, syarikat multinasional dan institusi akademik manakala program NEST terus menunjukkan impak positif selepas membantu 80 syarikat tempatan dalam meningkatkan hasil dan mewujudkan 356 pekerjaan baharu.

“Program ini memberi tumpuan kepada pengukuhan jenama, penggunaan teknologi dan pengurusan kewangan yang cekap.

“NCER komited untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan Pulau Pinang kekal sebagai destinasi pelaburan terkemuka dan hab inovasi teknologi serantau,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan