EKONOMI > BERITA

PULAU PINANG TUBUH PASUKAN PETUGAS KHAS PANTAU TARIF, BEKERJASAMA DENGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN

11/04/2025 05:13 PM

GEORGE TOWN, 11 April (Bernama) -- Kerajaan negeri Pulau Pinang akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk memantau tarif sebagai sebahagian daripada tindak balas strategiknya terhadap pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pasukan petugas itu akan berperanan sebagai platform penyelarasan pusat untuk mengesan perkembangan perdagangan, mengadakan libat urus dengan sektor terjejas dan memaklumkan tindakan dasar yang responsif.

Inisiatif itu akan menyokong usaha Pulau Pinang untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Pengumuman AS baru-baru ini untuk mengenakan tarif yang meluas ke atas import dari Malaysia, meningkat kepada 24 peratus dalam kebanyakan kes telah menimbulkan kebimbangan serius kepada negara khususnya Pulau Pinang.

"Sebagai antara negeri di Malaysia yang paling bergantung kepada perdagangan dan didorong eksport, Pulau Pinang secara langsung terdedah kepada implikasi langkah tersebut (tarif AS).

“Justeru, Pulau Pinang menggariskan dua inisiatif utama," katanya dalam sidang media selepas sesi perbincangan bertajuk "Tindak Balas Strategik terhadap Tarif AS: Melindungi Kepentingan Ekonomi Pulau Pinang" di Penang Institute, hari ini.

Satu lagi inisiatif utama ialah Pulau Pinang bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan kit peralatan penyesuaian perdagangan bagi membantu pengeksportnya dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengemudi keadaan tarif, pematuhan dan penstrukturan semula, katanya.

Kit peralatan berkenaan termasuk sumber praktikal untuk membantu syarikat meneroka pasaran alternatif di bawah perjanjian perdagangan serantau dalam ASEAN, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau sedia ada serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik.

"Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada pendekatan proaktif Pulau Pinang untuk melindungi ekonomi kita, menyokong perniagaan kita dan mengekalkan keyakinan pelabur. Bagaimanapun, ini bukan penyelesaian segera. Kerajaan negeri memerlukan masa untuk memuktamadkan mekanisme, berunding dengan pihak berkepentingan dan mendapatkan penjajaran antara agensi," katanya.

Beliau berkata Pulau Pinang tidak boleh dan tidak sepatutnya menghadapi cabaran ini bersendirian.

"Kami meminta Kerajaan Persekutuan untuk menyokong inisiatif diterajui oleh kerajaan negeri ini terutamanya dalam memastikan syarikat lebih kecil, vendor dan PKS yang bergantung kepada eksport tidak dibiarkan menanggung kejutan ini (tarif) secara bersendirian," katanya.

Beliau berkata pendirian ASEAN diselaraskan boleh membantu mengekalkan rantaian bekalan terbuka, keyakinan pelabur dan semangat perdagangan berasaskan peraturan.

"Pulau Pinang tidak akan mengalah...kami menjajarkan semula, menentukur semula dan mengesahkan semula peranan kami sebagai pemacu ekonomi utama negara. Kami pernah menghadapi cabaran sebelum ini, justeru kami akan mengatasi rintangan ini menerusi kerjasama, penyelarasan dan keyakinan terhadap rakyat dan industri," katanya.

Tiga puluh lima peserta mengambil bahagian dalam perbincangan meja bulat tersebut termasuk wakil daripada kerajaan negeri, agensi negeri dan persekutuan, Bank Negara Malaysia, institusi pendidikan, persatuan perdagangan, dewan perniagaan, PKS dan syarikat multinasional.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang Datuk Loo Lee Lian dalam sidang media sama berkata tiada kebimbangan timbul mengenai kadar pengangguran tinggi atau syarikat ditutup di Pulau Pinang berikutan tarif AS.

"Kita belum berada di peringkat itu lagi," katanya.

Eksport daripada syarikat berpangkalan di Pulau Pinang ke AS berjumlah 17 peratus (RM76 bilion) pada 2023 manakala eksport keseluruhan Malaysia ke AS adalah RM161 bilion dengan sektor elektrik dan elektronik sebagai penyumbang utama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan