Oleh Nor Baizura Basri
KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Kepimpinan dan pandangan jauh Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi pemangkin penting dalam meletakkan asas bagi inisiatif koridor ekonomi Malaysia, yang telah meninggalkan kesan berkekalan dalam landskap ekonomi negara, kata Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam ini.
Perkara itu disahkan menantu beliau, Khairy Jamaluddin melalui hantaran di Instagram hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Baidzawi Che Mat berkata usaha Perdana Menteri kelima itu bukan sahaja menjurus ke arah memupuk pertumbuhan ekonomi malah juga ke arah memajukan kesaksamaan dan kemampanan wilayah.
“Semasa menjadi Perdana Menteri dari 2003 hingga 2009, Tun Abdullah melakukan peranan penting dengan penubuhan ECER dan empat koridor ekonomi lain. Sumbangan beliau adalah asas dalam membentuk visi dan pelaksanaan inisiatif ini, berlandaskan matlamat memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan wilayah.
“Tun Abdullah berusaha menangani isu ketaksamaan dalam pembangunan ekonomi di seluruh negara. Koridor ekonomi diwujudkan secara strategik untuk memajukan kawasan yang kurang membangun dengan menjana peluang pekerjaan dan menyokong masyarakat tempatan, sekali gus menggalakkan pertumbuhan inklusif,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi malam ini.
Baidzawi berkata Tun Abdullah turut menekankan kepentingan menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.
“Penubuhan lima koridor ekonomi bertujuan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk perniagaan, sekali gus merangsang aliran masuk pelaburan dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi di kawasan yang ditetapkan,” katanya.
Abdullah dikenang sebagai pemimpin berwawasan yang memperkenalkan pendekatan pembangunan inklusif melalui penubuhan beberapa koridor ekonomi strategik di seluruh negara termasuk Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) pada 2007.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Mohamad Haris Kader Sultan merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita bagi pihak NCER berkata pemergian Abdullah merupakan satu kehilangan besar kepada negara khususnya dalam bidang pembangunan modal insan, sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Inisiatif ini telah menjadi pemangkin utama dalam menarik pelaburan, merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, serta memperkukuh infrastruktur, pertanian moden dan pembangunan modal insan di NCER merangkumi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
“NCER menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga atas jasa dan sumbangan Allahyarham Tun Abdullah dalam membentuk dasar pembangunan yang inklusif dan mampan. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Mohamad Haris berkata Abdullah juga dikenali dengan penerapan beliau mengenai prinsip Islam Hadhari, yang memperkukuh tadbir urus yang baik dan memacu pembangunan negara berteraskan nilai-nilai murni.
“Beliau juga melakukan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antarabangsa Malaysia khususnya dengan kalangan negara Islam melalui penyertaan aktif Malaysia dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), serta menyuarakan isu penting yang melibatkan umat Islam di peringkat global,” katanya.
Turut merakamkan takziah ialah Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Mohd Noorazam Osman.
“Sumbangan beliau dalam pembangunan ekonomi wilayah, dengan Iskandar Malaysia sebagai zon ekonomi wilayah yang pertama, akan terus dijadikan batu aras dalam memperkukuh ekonomi tempatan.
“Semoga Allah mengampunkan segala dosa beliau, menerima segala amalan beliau dan mengangkat darjatnya di sisi Allah,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Ketika mentadbir negara, Abdullah telah mencadangkan pembentukan beberapa koridor ekonomi, memanfaatkan kelebihan dan sumber daripada pelbagai wilayah dalam negara.
Pembentukan koridor ekonomi itu bertujuan membangunkan wilayah yang ketinggalan dari segi ekonomi supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat khususnya di kawasan luar bandar, sejajar dengan visi beliau iaitu untuk pembangunan yang seimbang dan inklusif untuk semua.
Pada 2006, Iskandar Malaysia di Johor menjadi koridor ekonomi pertama yang dilancarkan, diikuti NCER seterusnya Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah, serta Koridor Tenaga Yang Boleh Diperbaharui Sarawak.
Setiap koridor ekonomi itu dikhususkan untuk aktiviti ekonomi yang berbeza dan NCER yang merangkumi Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan Perak menumpukan kepada pertanian dan komoditi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial