EKONOMI > BERITA

PEMBANGUNAN SEIMBANG, IMPAK BERKEKALAN: PELAN TINDAKAN EKONOMI TUN ABDULLAH DIKENANG

15/04/2025 03:34 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi akan dikenang bukan sahaja sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima tetapi juga sebagai pemimpin berwawasan yang memperjuangkan pendekatan pembangunan ekonomi lebih inklusif dan seimbang, kata ahli ekonomi.

Antara banyak sumbangan beliau, yang paling menonjol adalah  penubuhan lima koridor ekonomi wilayah iaitu Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Profesor ekonomi Universiti Sunway Yeah Kim Leng berkata koridor ini mencerminkan ciri strategi pembangunan seimbang Tun Abdullah, yang diwujud untuk merapatkan jurang pembangunan antara negeri perindustrian di Malaysia dan wilayah kurang maju, jurang antara wilayah dan mengecilkan perbezaan pendapatan.

"Pewujudan pelbagai koridor ekonomi itu bertujuan untuk memanfaatkan sumber, kelebihan daya saing dan peluang di setiap wilayah. Pelaburan dan industri yang tertarik kepada setiap koridor bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negeri tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan.

"Oleh itu, ia dapat mengurangkan penghijrahan ke negeri yang lebih maju," katanya kepada Bernama, sambil menambah koridor seperti NCER dan Iskandar Malaysia menarik pertumbuhan tinggi dan industri bernilai tinggi yang membawa kepada gaji dan tahap pendapatan lebih tinggi, serta kualiti hidup yang baik.

Selain itu, beliau berkata koridor tersebut juga memberi impak positif kepada perumahan moden, pusat komersial, infrastruktur dan kemudahan serta akses yang lebih baik kepada perkhidmatan berkualiti tinggi seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Yeah berkata walaupun prestasi ekonomi kelima-lima koridor itu berbeza-beza dan mungkin tidak mencapai sepenuhnya objektif pembangunan yang dihasratkan dalam jangka masa yang diunjurkan, namun tidak diragui jurang antara wilayah di dalam negara akan melebar jika tidak ada dasar dan rancangan pembangunan seperti itu.

Sementara itu, ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyifatkan legasi Tun Abdullah sebagai asas kepada kemajuan berterusan Malaysia ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi.

"Tun Abdullah memberi sumbangan yang besar terhadap pembangunan ekonomi Malaysia. Bidang seperti transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), ekonomi Halal, koridor ekonomi wilayah telah membawa ekonomi negara mencapai tahap yang lebih tinggi dan menjadi acuan untuk pembangunan masa depan.

“Sehingga hari ini, koridor utama wilayah masih kekal relevan dalam pelbagai program pembangunan ekonomi,” katanya.

Abdullah, 85, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, pada malam Isnin.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan