KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Komuniti perniagaan mengingati Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai pemimpin yang memperjuangkan dialog, kestabilan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan, menurut Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM).
NCCIM berkata kepimpinannya ditakrifkan oleh komitmen mendalam terhadap tadbir urus progresif, keterangkuman ekonomi dan perpaduan nasional.
“Melalui pendekatan Islam Hadhari diperkenalkan Allahyarham, pendekatan berkenaan memperjuangkan model pembangunan yang berteraskan nilai sejagat, membina kemajuan dengan belas kasihan dan membangunkan moral yang kukuh.
“Antara inisiatif ekonomi utama Tun Abdullah ialah penubuhan lima koridor ekonomi serantau yang bertujuan menggalakkan pembangunan wilayah seimbang dan mempercepatkan pertumbuhan sektor baharu muncul termasuk industri halal,” katanya.
NCCIM berkata Abdullah juga membawa pendekatan berfikiran ke hadapan terhadap pertanian, menyepadukan teknologi termaju dan kepakaran mahir untuk memodenkan sektor itu dan meletakkannya sebagai penyumbang utama kepada pembangunan negara.
“Di bawah kepimpinannya, Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang menggalakkan antara 5.8 peratus dan 6.3 peratus sebelum krisis kewangan global pada 2008, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemimpin dihormati dan berwawasan dalam komuniti perniagaan,” katanya.
Sementara itu, Brahim’s Holdings Bhd menyifatkan pemergian Abdullah sebagai kehilangan seorang negarawan yang amat disayangi serta Bapa Pembangunan Modal Insan.
“Takziah kepada Tun Jeanne (balu Abdullah) dan seluruh ahli keluarga Allahyarham Tun Abdullah,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Tun Abdullah menghembuskan nafas terakhirnya hari ini pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN).
Berita itu disahkan menantunya Khairy Jamaluddin menerusi satu hantaran di media sosial.
Dilahirkan pada 26 November, 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Abdullah berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari 31 Oktober, 2003 hingga 3 April, 2009, menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial