EKONOMI > BERITA

PAK LAH: PENERAJU PERTUMBUHAN EKONOMI SEIMBANG, PEMBANGUNAN MODAL INSAN DAN INDUSTRI HALAL

14/04/2025 10:09 PM

Oleh Noor Baizura Basri and Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) – Tun Abdullah Ahmad Badawi, lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah, seorang yang berperwatakan lembut tetapi berjiwa besar dan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk Malaysia dan rakyatnya secara saksama.

Beliau memikul tanggungjawab besar sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima, membawa pendekatan baharu untuk menambah nilai dan terus memajukan ekonomi melalui dasar dan program baharu.

Pak Lah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam ini.

Perkara itu disahkan menantu beliau, Khairy Jamaluddin melalui hantaran di Instagram hari ini.

Antara ciri baharu dalam strategi beliau ialah menyokong pembukaan lima koridor ekonomi untuk menggalakkan pembangunan ekonomi serantau yang seimbang dan memperkasakan industri halal yang berkembang.

Slogan beliau “bekerja bersama saya, bukan untuk saya” mendapat sokongan setia daripada penjawat awam ketika itu. 

Ini membantu ahli politik dari Pulau Pinang itu membentuk identitinya sendiri, jauh berbeza daripada pemimpin sebelumnya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Minat beliau untuk membangunkan sektor pertanian Malaysia pada era apabila penekanan diberikan kepada pembuatan industri adalah berpandangan jauh dalam memastikan kadar sara diri terhadap produk berasaskan pertanian dan makanan.

Hari ini, jumlah import makanan yang tinggi, kekurangan bekalan beras dan kadar sara diri dalam sektor pertanian yang tidak mencukupi menjadi bukti jelas bahawa Pak Lah telah menjangka situasi sukar Malaysia jika sektor ini tidak diberikan perhatian sewajarnya.

Beliau turut dianugerahi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Khas Bapa Pembangunan Modal Insan Malaysia sebagai menghargai sumbangan dan komitmen beliau dalam membangunkan modal insan sepanjang menjadi perdana menteri dan sebelum itu sebagai menteri pendidikan.

 

Koridor ekonomi - Pembangunan dan kemakmuran seimbang merentasi seluruh negara

 

Pak Lah mencadangkan pembentukan beberapa koridor ekonomi, memanfaatkan kekuatan dan sumber dari pelbagai wilayah dalam negara. 

Ia bertujuan membangunkan wilayah yang ketinggalan dari segi ekonomi supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat, terutamanya kawasan luar bandar, sejajar dengan visi beliau kepada pembangunan yang seimbang dan inklusif untuk semua.

Pada 2006, Iskandar Malaysia di Johor menjadi koridor ekonomi pertama yang dilancarkan, diikuti Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), seterusnya Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah dan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak. 

Setiap koridor ekonomi ini dikhususkan untuk aktiviti ekonomi yang berbeza dan NCER yang merangkumi Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan Perak, memfokuskan kepada pertanian dan komoditi.

Sementara itu, Iskandar Malaysia di Johor, memberi tumpuan terutamanya kepada aktiviti pembuatan dan perindustrian yang telah mewujudkan minat baharu sebagai hab untuk pusat data di rantau ini.

Minat Pak Lah untuk memajukan sektor pertanian tidak melibatkan pertanian tradisional seperti membajak sawah dengan kerbau tetapi menggabungkan dan menyepadukan teknologi terkini dan profesional mahir untuk merevolusikan sektor itu dengan industri lain.

Visi beliau melangkaui kaedah pertanian tradisional, membayangkan masa depan yang sektor pertanian berkembang maju melalui inovasi saintifik dan kepelbagaian pasaran.

Hasrat Pak Lah untuk menyemarakkan semula koridor ekonomi ini sebagai pemacu pertumbuhan membuahkan hasil, terutamanya dalam tempoh lima tahun ini, dengan Iskandar Malaysia menerajui dan menjadi penyumbang terbesar. 

Bagi menyokong visi ini, beliau menggesa kepada langkah yang lebih fleksibiliti dan kurang birokrasi dalam urusan antara kerajaan dan sektor perniagaan bagi mewujudkan persekitaran yang lebih mesra pelabur, melalui penubuhan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) pada 2007.

Kemajuan dan kepelbagaian koridor ekonomi serta inisiatif lain mencerminkan visi beliau, yang berkembang maju sehingga hari ini, dengan kebanyakan koridor terus menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia.

 

Penggerak industri halal 

 

Sektor lain yang rapat di hati Pak Lah adalah industri halal dengan bersandarkan kekuatan Malaysia, terutama dalam pensijilan halal selain mewujudkan platform khusus bagi membolehkan negara muncul sebagai peneraju dalam landskap global.

Penubuhan Halal Development Corporation yang beliau umumkan sendiri sewaktu Forum Halal Sedunia pada 2006, turut menjadi peneraju pembangunan ekosistem dan infrastruktur halal Malaysia yang bersepadu serta komprehensif.

Pak Lah menyifatkan kesedaran yang kian ketara dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia, turut mendorong permintaan terhadap produk yang diperakui halal ke tahap baharu.

Proses penjenamaan dan pensijilan halal Malaysia yang mantap serta dipandang tinggi di pasaran global, juga menjadi ciri penting bagi pertumbuhan sektor itu.

Tidak hairanlah, keterujaan dan kesungguhan Pak Lah untuk meningkatkan industri halal, tetap berterusan walaupun selepas beliau bersara.

Pada 2013, beliau berkongsi rancangan untuk mengumpul dana ekuiti swasta berjumlah US$500 juta dalam tempoh tiga tahun untuk memberi tumpuan terhadap peluang global dalam industri halal.

Ketika itu, beliau berperanan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Azka Capital, sebuah firma penasihat ekuiti yang menumpukan inisiatif industri halal.

Tidak dinafikan, tempoh itu amat bertepatan dalam mewujudkan pelbagai peluang bagi meningkatkan lagi penyertaan dalam sektor halal, khususnya dengan Malaysia sebagai pemain global yang terkemuka.

 

Legasi pacu pembangunan modal insan

 

Selain sektor dan industri, Pak Lah juga menyedari bahawa strategi bagi pertumbuhan negara adalah berteraskan pembangunan modal insan, khususnya dalam kalangan belia.

Bertepatan dengan gelaran sebagai “Bapa Pembangunan Modal Insan,” Pak Lah memperjuangkan elemen itu yang turut ditekankan dalam pelbagai ucapan beliau sepanjang memegang jawatan utama berkenaan.

“Kita telah melihat banyak kes realiti yang mana individu dengan pembangunan manusia tidak seimbang mencetuskan banyak masalah, sama ada kepada organisasi atau negara.

“Dalam konteks pembangunan sesebuah negara, proses pemupukan kesederhanaan dan sistematik yang sewajarnya di setiap peringkat adalah amat penting. Di sinilah pembangunan modal insan menjadi faktor utama dalam memupuk kesederhanaan,” kata beliau dalam satu daripada ucapannya pada 2012.

Pak Lah juga dikenali kerana melaksanakan strategi pembangunan berdasarkan prinsip kepimpinan konsep Islam Hadhari atau Islam yang bertamadun.

Beliau berkata Islam Hadhari boleh membantu pembangunan modal insan dan dalam proses itu, menaikkan martabat negara dengan mengukuhkan nilai peribadi, memperkasakan keseimbangan fizikal, mental dan rohani serta melahirkan generasi yang bermentaliti kelas pertama.

Menjaga kesejahteraan lebih sejuta penjawat awam dan pesara, Pak Lah membawa berita gembira kepada penjawat awam tiga tahun selepas mengambil alih jawatan perdana menteri dengan mengumumkan kenaikan gaji yang besar untuk mereka, antara 7.5 peratus dan 35 peratus.

Selain itu, elaun bantuan sara hidup (Cola) untuk penjawat awam juga meningkat 100 peratus manakala pegawai polis dan anggota tentera menerima tambahan 20 peratus selain kenaikan gaji yang diumumkan sebelum itu.

Kenaikan gaji itu memberi manfaat kepada lebih sejuta penjawat awam di negara ini, termasuk anggota tentera dan polis.

Pada 2008, Pak Lah juga membenarkan kira-kira 40,000 penjawat awam yang telah memilih Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk kembali kepada skim pencen.

Ini juga merupakan kali pertama pencen disemak semula sejajar dengan kos sara hidup yang tinggi, yang memberikan kegembiraan kepada mereka yang setia berkhidmat dengan kerajaan. 

Pada hari terakhir Pak Lah di pejabatnya kira-kira 15 tahun lepas (pada 2009), sebelum berangkat pulang, ratusan kakitangan mengiringi beliau dari lobi pejabat hinggalah ke kereta rasminya. 

Hari ini, rakyat Malaysia berduka atas pemergian perdana menteri kelima Malaysia yang lembut tutur katanya dan mudah mesra yang juga seorang pemimpin sejati.

Beliau akan diingati sebagai perdana menteri yang merendah diri dan bersederhana serta mudah didekati selain seorang pemimpin yang membawa perubahan besar dalam menambah baik kehidupan dan kebajikan rakyat Malaysia dengan caranya yang tersendiri. 

Pak Lah sudah tiada, namun jasanya akan terus dikenang dan sudah pastinya segenap lapisan rakyat Malaysia akan merinduinya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan