KOTA BHARU, 19 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menahan dua warga asing kerana disyaki cuba merasuah anggota polis di Tumpat, awal pagi tadi.
Menurut sumber kedua-dua lelaki masing-masing warga Bangladesh dan Myanmar yang berusia 25 dan 27 tahun itu dipercayai menawarkan wang tunai RM200 kepada anggota polis terlibat yang sedang menjalankan rondaan.
"Kedua-dua suspek ditahan di pejabat SPRM Kelantan kira-kira 1.30 pagi. Rasuah itu dipercayai bertujuan memujuk anggota berkenaan agar tidak menjalankan pemeriksaan rutin,” kata sumber itu kepada Bernama hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan Rosli Husain ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 kerana memberi suapan kepada penjawat awam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie berkata dalam kejadian kira-kira 6.10 petang itu, kedua-dua suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap dan diarahkan oleh anggota polis terbabit supaya mengemukakan pengenalan diri.
"Pemeriksaan tubuh badan terhadap kedua-dua suspek tidak menjumpai barangan yang menyalahi undang-undang.
"Bagaimanapun, semasa membuat pemeriksaan, seorang suspek cuba memberi suapan sejumlah wang tunai dan anggota berkenaan turut memberi amaran sebanyak tiga kali supaya tidak memberi suapan kepada penjawat awam kerana menyalahi undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata warga asing itu bagimanapun tidak menghiraukan amaran berkenaan dan telah menghulurkan sejumlah wang di genggaman tangan kanan kepada anggota polis yang bertugas sebelum ditangkap kerana memberi suapan serta didapati tinggal lebih masa dan pasport tamat tempoh.
"Seorang lagi suspek disyaki tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri yang sah, selain merampas dua dokumen Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang meragukan daripada suspek," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial