JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Sarawak Rampas Kayu, Rokok Dan Hidupan Liar Bernilai Lebih RM1.8 Juta

19/05/2025 08:12 PM

KUCHING, 19 Mei (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak mencatat lapan kejayaan menerusi Op Bersepadu Khazanah, Op Taring Libas dan Op Taring Awas atau Batas, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM1.84 juta.

Timbalan Komander Briged Sarawak ACP Rosdi Inai berkata kejayaan tersebut melibatkan penahanan beberapa individu dan rampasan barangan termasuk kayu, rokok, petrol serta pelbagai spesies haiwan dilindungi.

“Pada 15 Mei lepas, PGA telah menyerbu sebuah lokasi di Sri Aman disyaki digunakan untuk memproses kayu tanpa permit sah. Sebanyak 451 batang kayu pelbagai saiz, tiga mesin memproses kayu, dan satu tempat penyimpanan kayu keseluruhan bernilai RM1,070,500 dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pada hari sama, pihaknya turut menyerbu sebuah rumah di Kampung Tebedu, Serian dan menahan seorang lelaki berusia 59 tahun serta merampas 1,000 karton rokok putih pelbagai jenis tanpa cukai kastam, dengan anggaran nilai RM340,000.

Seterusnya, Rosdi berkata hasil kerjasama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), PGA menyerbu sebuah rumah di Bau pada 13 Mei dan menahan seorang wanita berumur 42 tahun sebelum menyita 15 burung dan lapan kura-kura pelbagai spesies terlindung, bernilai RM112,885.

Beliau berkata pada 14 Mei pula, pasukannya menyerbu sebuah premis di Kuching dan menahan seorang lelaki berumur 57 tahun serta merampas 36 burung dan 40 kura-kura terlindung dengan nilai keseluruhan RM79,450.

“Pada hari yang sama di Miri, PGA menyerbu sebuah kediaman dan menahan seorang lelaki berumur 74 tahun manakala tujuh ekor burung pelbagai jenis dirampas dengan anggaran nilai RM27,800.

“Di Sibu pula, sebuah kediaman diserbu dan seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun ditahan selain turut merampas tujuh tupai terlindung dan satu sangkar besi, bernilai RM15,000,” katanya.

Rosdi berkata PGA sekali lagi bersama dengan SFC menyerbu sebuah lokasi disyaki menyimpan hidupan liar terlindung tanpa permit dan menahan seorang lelaki berumur 62 tahun di Sri Aman pada 15 Mei.

Beliau berkata hasil pemeriksaan menemui sembilan tanduk rusa spesies sambar dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM9,000.

Seterusnya, beliau berkata serbuan ke atas sebuah motorlori disyaki membawa petrol tanpa permit di kawasan Lundu pada 6.20 petang semalam, dan seorang lelaki berumur 57 tahun ditahan bersama 133 tong jerikin mengandungi 1,330 liter petrol.

Rosdi berkata kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA),  Ibu Pejabat Polis Daerah Serian dan SFC untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan