AM

Mural Jambatan Kuala Sungai Melaka Jadi Tarikan Baharu Pelancongan Di Langkawi

19/05/2025 10:33 PM

LANGKAWI, 19 Mei (Bernama) -- Jambatan Kuala Sungai Melaka kini menjadi tarikan baharu pelancongan melalui penghasilan mural berskala besar yang mengetengahkan tema Geopark Langkawi yang sinonim dengan Pulau Legenda itu.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata tarikan baharu itu merupakan hasil kerjasama antara Balai Seni Negara Cawangan Langkawi dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menerusi program khas bersempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25).

"Ini antara inisiatif yang dilakukan untuk memastikan semua kawasan pelancongan diindahkan sebab itu seramai 12 artis mural tempatan melakar gambar mural antaranya 'Trilobite', 'Pink Dolphin' dan burung helang yang memang sinonim dengan Langkawi.

"Pelancong boleh berhenti di kiri dan kanan jambatan di mana mereka boleh meluangkan masa untuk mengambil gambar berlatarbelakangkan mural yang dilukis, ditemani pemandangan indah Gunung Mat Chincang dan Sungai Melaka," katanya selepas Program Pengindahan dan Keceriaan Jambatan Kuala Sungai Melaka di sini hari ini.

Ketua Pengarah Balai Seni Negara Amerrudin Ahmad pula berkata proses menyiapkan projek itu mengambil masa dua minggu yang merangkumi beberapa fasa penting termasuk kerja-kerja pembersihan, pengecatan dan penghasilan mural.

"Program ini melibatkan penyertaan 12 artis mural tempatan iaitu Dhiyaul Mohamad Ashraf Dawari, Muhammad Firdaus Musa, Muhammad Riduan Raja Yunus, Muhammad Syafiq Mohd Adib, Muhammad Izwan Rahimi, Norafandi Rosli, Hardiana Hidayah Azni, Abdul Qoyyum Mohd Nadzri, Mohammed Nabil Sohaini, Fauzan Adzima Pangestu Padzli, Mohamad Fakhri Mohd Salleh dan Muhammad Izharuddin Mohd Salleh.

"Pendekatan ini bukan sahaja mampu memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap seni visual tetapi juga memupuk rasa tanggungjawab untuk memelihara dan menghargai ruang awam sebagai khazanah bersama,” katanya. 

Beliau berkata usaha itu mencerminkan komitmen berterusan Balai Seni Negara dalam mendekatkan seni kepada masyarakat serta memartabatkan warisan budaya dengan pendekatan yang inklusif, kontemporari dan mendidik.

Amerrudin juga berkata pelaksanaan program itu diharap dapat menyemarakkan suasana sambutan LIMA'25 sekali gus memperkenal Langkawi sebagai pulau yang kaya dengan nilai seni serta budaya sejajar dengan kempen Tahun Melawat Kedah 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif LADA Datuk Haslina Abdul Hamid berkata pemilihan jambatan itu adalah kerana kedudukannya yang strategik sebagai laluan utama pelancong dan nadi komuniti di samping potensi untuk diangkat sebagai ruang seni awam yang mampu memperkaya pengalaman budaya serta visual pengunjung.

Bagi Dhiyaul Mohamad Ashraf Dawari, 32, yang telah berkecimpung lebih 10 tahun dalam bidang lukisan mural, beliau bersama rakan-rakan lain mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan mural sepanjang kira-kira 100 meter dengan menggunakan pelbagai alatan dan elemen berlainan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan