JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Rampas Ganja RM1.95 Juta Di Pangkalan Haram

20/05/2025 12:13 AM

KOTA BHARU, 19 Mei (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya merampas 55.899 kilogram (kg) ganja bernilai lebih RM1.95 juta dalam serbuan di pangkalan haram Tok Awang Belulang, Rantau Panjang, Pasir Mas, hari ini.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata serbuan pada 7.20 pagi tadi itu dilakukan oleh Strike Force Sektor A Rantau Panjang, Kompeni C Batalion 9 PGA Kuala Terengganu dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

“Bertindak atas maklumat risikan, pasukan membuat pemantauan selama 10 minit sebelum menyerbu sebuah Mitsubishi Triton putih yang sedang memunggah kotak dari arah jeti,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Beliau berkata seorang lelaki tempatan berusia 30-an serta seorang wanita warga Thailand berusia 52 tahun ditahan dalam serbuan itu dan pemeriksaan lanjut menemukan 13 kotak mengandungi 55.899 kilogram ganja yang dibungkus dalam plastik hitam dan lutsinar.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati wanita warga Thailand itu positif metamfetamina manakala lelaki tempatan negatif,” katanya.

Beliau berkata turut dirampas sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Triton dianggarkan bernilai RM100,000 dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan lebih RM2 juta.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Nik Ros Azhan menegaskan bahawa pemantauan di kawasan pangkalan haram akan terus dipergiat bagi membanteras aktiviti penyeludupan dadah di sempadan selain kerjasama antara PGA dan BSJND akan terus diperkukuh bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan